UMNO/BN Sabah Tidak Sabotaj SMJ, Suarakan Rintihan Rakyat Sejauh Mana Keberkesanannya – Jeffrey Nor
PUTATAN, 26 Mac – UMNO Sabah tidak berniat untuk mensabotaj Gagasan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diperkenalkan oleh Kerajaan Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana sedar jika ia dilaksanakan sepenuhnya akan membawa kebaikan, kemajuan dan kesejahteraan buat negeri dan rakyat Sabah keseluruhannya.
Pengarah Jentera Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffery Nor Mohamed berkata, tidak timbul isu bagi UMNO atau Barisan Nasional (BN) Sabah mensabotaj apa lagi takut dengan slogan ini kerana ia tidak akan mengurangkan sokongan rakyat kepada UMNO.
“Kita tidak akan bangkitkan isu ini jika rakyat tidak bersuara dan mahu parti sampaikan kepada kerajaan negeri melalui platform politik malah dalam masa yang sama rakyat juga ketika ini semakin celik, bukan hanya melalui telefon pintar tapi mereka juga dengan mudah boleh menulis dan memviralkan di mana-mana media sosial tentang isu-isu pembangunan yang mereka hadapi.
“Apatah lagi slogan SMJ tersebut setakat ini masih belum dapat mengubah taraf kehidupan rakyat terutamanya dalam menikmati kemudahan frasarana pembangunan seperti sistem perhubungan jalan raya, bekalan air bersih, elektrik dan situasi ekonomi yang semakin terjejas,” katanya.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan berkata demikian sebagai mengulas ucapan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Nor semasa berucap di majlis berbuka puasa anjuran GRS Klias, di Masjid Daerah Beaufort pada Sabtu.
Dalam ucapannya, Hajiji menyebut pemimpin pembangkang menjadikan SMJ sebagai sasaran kritikan, modal politik dan takut kepada slogan tersebut hinggakan mencari keburukannya.
Menurut Jeffery dalam dunia tanpa sempadan, rakyat kini pantas mendapat maklumat dan mempertikaikan rasa ketidakpuasaan mereka terhadap perkara yang tidak memberikan kesan kebaikan.
Sehubungan itu, menurut Jeffery kerajaan dan pemimpin GRS perlu berlapang dada menerima segara teguran serta kritikan dari rakyat serta memenuhi aspirasi rakyat selaras dengan gagasan SMJ itu sendiri.
Katanya, rakyat baru bercakap soal keberkesanan pelaksanaan SMJ dan belum lagi menyentuh isu pembangunan Pulau Balambangan, isu Karpowership, isu carbon kredit serta sekarang isu pasir sungai yang tidak diwar-warkan dalam media.
“Semua isu ini perlu diperjelaskan kepada rakyat akan pelaksanaan, kesan dan kebaikannya untuk kemajuan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini,” katanya lagi. – UMNO Online