Kementerian Kerja Raya Laksana Penambahbaikan Aspek Kejuruteraan, Tingkatkan Keselamatan Pengguna Jalan Raya

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Kementerian Kerja Raya amat menitik berat keselamatan jalan raya dengan pelbagai langkah diambil dalam usaha mengurangkan kemalangan.

Timbalan Menteri, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan dalam menangani isu ini, lima aspek utama diaplikasi iaitu pendidikan, penguatkuasaan, kejuruteraan, persekitaran dan penilaian.

“Kementerian Kerja Raya melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku Agensi Teknikal Negara melaksanakan penambahbaikan dalam aspek kejuruteraan dalam meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.

“Melalui program menaik taraf infrastruktur keselamatan jalan raya dan peruntukan khas Kementerian Kewangan tahun 2023 ada melaksanakan skop pemasangan lampu jalan di kawasan berlaku kemalangan atau berisiko kemalangan akibat jalan gelap.

“Bagi skop ini, kawasan kerap kemalangan atau berisiko kemalangan, persimpangan, selekoh, jambatan serta kawasan punya kemalangan akan dikenalpasti dan pemasangan lampu jalan akan dibuat,” katanya ketika menjawab soalan daripada Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata pada tahun 2023, sejumlah RM15.03 juta telah dibelanjakan untuk pemasangan lampu jalan di 106 lokasi terpilih di Jalan Persekutuan seluruh Malaysia termasuk 38 lokasi yang mempunyai rekod kemalangan kehidupan liar.

Manakala pada tempoh sama sebanyak 25 lokasi di Jalan Persekutuan negeri Perak telah dipasang lampu jalan dengan kos RM3 juta.

“Kementerian ini juga ada melaksanakan lawatan di lokasi kerap berlaku kemalangan ataupun black spot di Jalan Persekutuan seluruh Malaysia.

“Di bawah skop ini, lokasi kerap berlaku kemalangan disebabkan oleh faktor kejuruteraan akan dikenalpasti dan audit keselamatan Jalan Raya kemudiannya dilaksanakan bagi mencadangkan kaedah rawatan yang terbaik bagi jangka pendek dan jangka panjang.

“Berdasarkan rekod pembaikan lokasi ‘black spot’, sebanyak 55 lokasi pembaikan telah dilaksanakan di jalan-jalan Persekutuan seluruh negara pada tahun 2023 dengan kos berjumlah RM19 juta. Pembaikan yang dilaksanakan ini adalah persifat penyelesaian kos rendah dan berimpak tinggi,” ujar beliau.

Ahmad turut memaklumkan, melalui rekod pembaikan kawasan kemalangan di negeri Perak, sebanyak 19 lokasi telah dilaksanakan pembaikan antara tahun 2020 hingga 2023. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.