Konflik Palestin: Malaysia Seru Semua Negara Tidak Kompromi Dengan Kekejaman Israel

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Malaysia menyeru semua negara untuk tidak berkompromi dengan kekejaman Israel ke atas Palestin di samping menekan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dalam menyelesaikan isu ini.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia sentiasa tegas dan berprinsip menyuarakan pendirian tegas negara ke atas konflik yang berlaku di Palestin.

“Malaysia sentiasa tegas dan berprinsip terlibat secara aktif dalam menyuarakan pendirian tegas negara mengenai konflik yang berlaku di Palestin. Ini termasuk kekejaman, keganasan dan genosid oleh rejim zionis Israel ke atas rakyat Palestin yang berlaku di semenanjung Gaza terutamanya sejak Oktober 2023.

“Malaysia juga tegas dan lantang menggesa masyarakat antarabangsa untuk mengheret Israel ke muka pengadilan. Atas prinsip ini, Malaysia memberi sokongan penuh kepada usaha Afrika Selatan untuk mengheret Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 29 Disember 2023 berhubung pencabulan Israel terhadap kewajipannya di bawah Konvensyen Genosid 1948.

“Untuk makluman, Konvensyen Genosid yang telah diluluskan oleh Perhimpunan Agung PBB pada 9 Disember 1948 untuk ditandatangani dan diratifikasi oleh negara-negara anggota. Malaysia telah menyertai konvensyen ini pada tahun 1994,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, sebanyak 153 negara telah meratifikasi konvensyen tersebut dan Malaysia menyokong usaha Setiausaha Agung PBB membawa isu ini ke Majlis Keselamatan PBB.

“Sehingga April 2022, sebanyak 153 negara telah meratifikasi atau menyertai konvensyen ini. Konvensyen ini antara lain menjelaskan apakah jenayah yang dikategorikan genosid dan meletakkan obligasi oleh negara-negara anggota untuk mencegah jenayah tersebut.

“Pada 6 Disember 2023, Malaysia menyokong usaha Setiausaha Agung PBB mengguna pakai artikel 99 Piagam PBB yang membenarkan Setiausaha Agung PBB membawa perkara yang mengancam keamanan dan keselamatan antarabangsa ke Majlis Keselamatan PBB.

“Kali terakhir artikel ini digunakan adalah pada tahun 1989. Malaysia sentiasa menggesa gencatan senjata dan bantuan kemanusiaan diberikan tanpa sekatan bagi menamatkan bencana kemanusiaan yang dihadapi rakyat Palestin di Gaza serta Tebing Barat,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa ICJ telah mengarahkan Israel untuk menghentikan genosid di Gaza.

“Justeru, keputusan ICJ pada 26 Januari 2024 yang mengarahkan Israel menghentikan genosid di Gaza adalah selari dengan pendirian dan perjuangan Malaysia dalam isu Palestin. Dalam hal ini juga Malaysia bukan saja menggesa Israel supaya menghentikan kekejamannya malah menyeru masyarakat antarabangsa untuk mendesak Israel supaya mematuhi keputusan ICJ tersebut.

“Malaysia juga telah memperjuangkan isu Palestin dari sudut perundangan dengan menyertai prosiding bagi mendapatkan Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa, ataupun ICJ, berhubung isu Palestin dengan mengemukakan Kenyataan Bertulis kepada ICJ pada 25 Julai 2023.

“Seterusnya, saya sendiri telah membentangkan Kenyataan Lisan Malaysia di Sesi Pendengaran Awam berkaitan di ICJ, The Hague pada 22 Februari 2024 baru-baru ini, yang antara lain, menggesa bahawa dasar dan amalan Israel di Wilayah Pendudukan Palestin, ataupun Occupied Palestinian Territory, telah melanggar undang-undang antarabangsa di samping mencabul hak rakyat Palestin untuk penentuan nasib sendiri,” katanya lagi.

Menurutnya, penyertaan Malaysia dalam prosiding bagi mendapatkan Pendapat Nasihat ICJ ini adalah penting bagi Malaysia untuk berganding bahu bersama-sama negara sepemikiran dalam mempertahankan hak kemanusiaan Palestin.

“Malaysia juga menyeru agar semua negara tidak berkompromi dengan tindakan dan pendudukan haram Israel ke atas Wilayah Palestin di samping menekankan kewajipan PBB untuk melaksanakan tanggungjawabnya dalam menyelesaikan isu Palestin.

“Penyertaan dalam prosiding bagi mendapatkan Pendapat Nasihat ICJ ini adalah penting bagi Malaysia untuk berganding bahu bersamasama negara sepemikiran, atau pun ‘like-minded countries’, dalam mempertahankan hak kemanusiaan Palestin, di samping memperjuangkan supaya Palestin dapat menjadi Negara yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.