Ahmad Zahid Yakin KEDA Capai Objektif Bantu Rakyat Kedah

PENDANG, 24 Mac – Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata projek yang dilaksanakan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dilihat mampu mencapai objektif mengeluarkan peserta daripada kelompok miskin tegar.

Ujar Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, sejak KEDA ditubuhkan pada 1981, Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan lebih kurang RM2.31 bilion dengan pelbagai program dan apa yang penting adalah keberhasilannya.

Menurutnya lagi, wang yang dibelanjakan itu merupakan satu jumlah yang besar dan biarpun dilihat terdapat output (pengeluaran) daripada projek-projek yang dijalankan, beliau berharap Pengerusi KEDA yang baharu Datuk Seri Jamil Khir Baharom melihat kepada outcome (keberhasilan).

“Saya yakin keberkesanan kos yang efektif harus menjadi agenda utama, bukan hanya sekadar beberapa projek yang telah dijalankan tetapi keberkesanan sesuatu projek itu.

“Dan jumlah orang yang dapat dikeluarkan daripada kategori bawah garis kemiskinan terutamanya yang berada di bawah garis kemiskinan tegar,” katanya dalam satu sidang media pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Al-Falah, Sungai Tiang di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) merangkap Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi KEDA Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Turut hadir Pengerusi FELDA Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid, Ketua UMNO Bahagian Pendang Datuk Suraya Yaacob serta kepimpinan di pelbagai peringkat.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata KEDA juga mahu mewujudkan lebih ramai usahawan dan keberhasilannya mampu melahirkan mereka yang berjaya.

“Kita juga mahu melihat hasil daripada program usahawan ini yang terdiri daripada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). Juga keluar pengeluaran bahan-bahan makanan dan minuman (F&B) dan memfokuskan kepada permintaan pasaran yang luas dari luar Malaysia.

“Ini termasuklah bahan-bahan untuk mengeluarkan bahan farmasuetikal, ubat-ubatan dan bahan-bahan untuk makanan yang memerlukan ramuan utama dari Malaysia,” katanya.

Tambahnya, bagi memastikan usaha itu mampu dicapai, semua agensi di bawah KKDW dan juga kementerian lain perlu diselaraskan bagi mencapai keberhasilannya.

Begitu juga mengenai kursus-kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khususnya di Kolej KEDA yang turut menawarkan kursus-kursus baharu seperti teknologi kenderaan elektrik (EV) dan kecerdasan buatan (AI).

“Tentunya kita melihat kursus-kursus TVET akan disesuaikan mengikut permintaan pasaran umpamanya dari segi teknologi baru. Maka Kolej KEDA antaranya telah menawarkan kursus-kursus berdasarkan EV, AI dan ini adalah kehendak pasaran sekarang ini.

“Selama ini Kolej KEDA kebolehpasaran kira-kira 96.3 peratus dan ini adalah melebihi daripada penanda aras di peringkat nasional. Ini satu kejayaan yang harus diteruskan oleh pengurusan tertinggi KEDA,” katanya.

Dalam majlis berbuka puasa itu, turut diadakan penyampaian geran hak milik tanah, bantuan ekonomi, peruntukan pengimarahan Ramadan, program Agromakanan RISDA dan program ‘welcome to school’ kepada beberapa penerima.

Ahmad Zahid juga menyantuni anak-anak yatim dan golongan ibu tunggal dengan menyampaikan sumbangan Santunan Kasih Ramadan. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit