Sambung Tradisi Imarah Bulan Mulia… Wanita UMNO Anjur Program Ihya’ Ramadan

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Wanita UMNO Malaysia mengimarahkan kedatangan bulan Ramadan dengan penganjuran Program Ihya’ Ramadan hari ini di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Diadakan secara tradisi setiap tahun pada bulan Ramadan, kali ini penganjurannya turut sama disertai oleh Pergerakan Puteri UMNO Malaysia.

Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Zahari yang ditemui pada program tersebut meluahkan keterujaan beliau apabila sambutan daripada Wanita dan Puteri UMNO sangat menggalakkan dan mencatatkan kehadiran sebanyak 1,200 peserta.

“Alhamdulillah hari ini pertama kali kita mengadakan majlis seumpama ini bersama-sama dengan Puteri UMNO.

“Wanita UMNO Malaysia memang mengadakan program seumpama ini setiap kali bulan Ramadan, sudah bertahun-tahun dan ini adalah kali pertama kita bersama sekali dengan Puteri UMNO.

“Penyertaan hari ini sangat mengalakkan kerana kita ada wakil daripada semua negeri, utara sampai ke timur, selatan iaitu wakil negeri setiap ketua-ketua Wanita yang ramainya negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan,” katanya.

Terdahulu Program Ihya’ Ramadan Wanita UMNO Malaysia diadakan petang tadi dimulakan dengan Solat Sunat Tasbih dipimpin oleh Ustazah Shafinas Jumari dan Tadarus Al-Quran oleh Ustazah Rosnah Yasis.

Majlis seterusnya menyaksikan Khatam Al-Quran yang diadakan secara beramai-ramai, Tazkirah Ihya Ramadan juga diadakan dan disampaikan oleh Pengerusi Sekretariat Hal Ehwal Agama Wanita UMNO Malaysia, Prof Datuk Dr Fariza Md Sham bagi memberikan pengisian bermanfaat untuk diamalkan sempena bulan barakah ini.
UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit