Pemuda UMNO Pertahan Dan Perjuangkan Kalimah Allah, Bukannya Rasis Mahupun Cauvinis – Sollehin
KUALA LUMPUR, 21 Mac – Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie menegaskan perjuangan mempertahankan kalimah Allah ini adalah perjuangan umat Islam dan bukannya untuk tujuan populis sebaliknya ia adalah perjuangan mempertahankan tauhid.
Jelas beliau, penggunaan kalimah Allah harus dipelihara dan dipertahankan sepertimana yang dilperjuangkan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh kerana itu adalah hak dan maruah umat Islam yang tidak boleh dipertikaikan.
“Ini bukan gerakan politik dari Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh mahupun dari mana-mana parti tapi perjuangan mempertahankan kalimah Allah adalah maruah umat Islam.
“Perjuangan ini menuntut tindakan yang lebih keras terhadap mereka yang memperlekehkan kalimah Allah. Kita berjuang kerana Allah dan bukannya perjuangan rasis mahupun cauvinis.
“Sesiapa sahaja yang memperlekehkan kalimah Allah baik muslim atau non-muslim tak kira bangsa apa sekalipun harus memperoleh tindakan yang maksimum,” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Mengulas lanjut, Sollehin yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang menuntut pemilik KK Mart memohon maaf secara maksimum terhadap umat Islam dan dikenakan tindakan atau denda yang setimpal agar perkara seperti ini tidak diambil enteng oleh mana-mana pihak.
“Boikot ini bukan untuk menjatuhkan mana-mana perniagaan atau individu, ia adalah cetusan kemarahan dan kekecewaan kami terhadap kalimah Allah yang dipersendakan dan peringatan untuk semua pihak bahawa tiada kompromi bagi yang menghina sebarang syiar Islam.
“Tuduhan mengatakan serangan ini lebih dahsyat kerana KK Mart adalah milik non-muslim adalah tuduhan yang sangat salah dan tidak berasas malahan Islam mengajar umatnya untuk menentang dengan keras sekiranya non-muslim memperolok-olokkan nama Allah SWT,” tegasnya.
Beliau turut menyertakan firman Allah SWT dari dalam al-Quran pada Surah Al-Taubah: 32 yang maksudnya:
“Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” – UMNO Online