KPWKM Usaha Tingkat Kesedaran, Peringatan Bendung Sindrom Terlupa Anak – Noraini

KUALA LUMPUR, 21 Mac – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) amat prihatin dan memandang serius akan gejala Forgotten Baby Syndrome (Sindrom Terlupa Anak).

Timbalannya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, KPWKM sentiasa berusaha agar gejala Forgotten Baby Syndrome (Sindrom Terlupa Anak) dapat dibendung.

“Antara usaha yang telah dilaksanakan ialah meningkatkan kesedaran dan memberi peringatan melalui media, seperti hebahan tips dalam bentuk video dan infografik di media sosial, portal berita tempatan serta media perdana.

“Kita juga telah membuat hebahan melalui e-mel kepada semua kementerian, jabatan, agensi Persekutuan dan negeri atau hospital dan institusi pengajian awam yang mengandungi bahan-bahan promosi kempen ‘jangan tinggal anak bersendirian aalam kenderaan’ untuk mereka kongsikan dengan warga masing-masing.

“Menyedari kepentingan usaha berterusan, KPWKM akan terus menjalinkan kolaborasi yang aktif dan berkongsi maklumat bersama agensi lain bagi meningkatkan kesedaran awam agar ibu bapa tidak meninggalkan anak-anak dalam kereta sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

Beliau menjawab persoalan dari Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (Maran) yang meminta KPWKM menyatakan langkah yang diambil oleh Kerajaan bagi membendung gejala Forgotten Baby Syndrome (Sindrom Terlupa Anak) yang kian meningkat kini serta berapakah peratusan yang telah berlaku sejak dari tahun 2020.

Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO menegaskan semua pihak boleh memainkan peranan masing-masing bagi menangani pemasalahan ini namun pemain utamanya adalah ibu bapa itu sendiri.

“Semua pihak khususnya ibu bapa perlu memainkan peranan masing-masing bagi menangani pemasalahan ini.

“Kita boleh membantu diri kita sendiri untuk tidak lupa dengan mengambil pelbagai pendekatan, antaranya seperti meletakkan barang penting berhampiran anak,” katanya lagi.

Seterusnya kata Ahli Parlimen Parit Sulong, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebanyak tiga (3) kes pada tahun 2020, dua (2) kes pada tahun 2021, tiada kes pada tahun 2022, sebanyak lima (5) kes bagi tahun 2023 dan bagi tahun 2024 sehingga kini telah dicatatkan sebanyak empat (4) kes. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.