Azhari Sokong Penuh Titah Agong… Tegak Keharmonian, Kesucian Agama Islam

SHAH ALAM, 21 Mac – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari menyatakan sokongan penuh terhadap titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam menegakkan keharmonian dan kesucian agama Islam di negara ini.

Ujarnya, isu penjualan stoking kaki yang tertera kalimah Allah oleh kedai rangkaian serbaneka KK Mart adalah satu kesalahan yang tidak dapat diterima oleh umat Islam di negara ini.

“Sebagai Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, saya, Datuk Azhari Shaari, dengan tegas menyatakan sokongan penuh terhadap titah mulia Yang di-Pertuan Agong dalam menegakkan keharmonian dan kesucian agama di negara ini.

“Isu penjualan sarung kaki yang tertera kalimah Allah adalah suatu pelanggaran yang tidak dapat diterima oleh umat Islam di Malaysia mahupun dunia. Kita harus menghormati dan menjaga sensitiviti agama dalam segala aspek kehidupan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau turut bersetuju dengan keputusan Yang di-Pertuan Agong yang mahu mengambil tindakan sekeras-kerasnya terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam isu penjualan stoking tersebut.

“Saya setuju sepenuhnya dengan keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk mengambil tindakan sekeras-kerasnya terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam isu ini. Kita semua harus mengutamakan perpaduan dan saling menghormati antara satu sama lain, tanpa mengabaikan nilai-nilai keagamaan yang menjadi asas kepada kehidupan beragama di negara kita.

“Saya menyeru kepada semua pihak untuk bersatu padu dalam menghormati dan mematuhi titah muliaYang di-Pertuan Agong. Kita harus menjaga keamanan dan keharmonian negara ini sebagai tanggungjawab bersama.

“Dengan ini, saya mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menegakkan keadilan dan keharmonian dalam bingkai perpaduan dan kepelbagaian yang menjadi kekuatan kita,” katanya lagi.

Sebelum ini, tular di media sosial tentang kewujudan stoking tertera kalimah Allah yang dijual secara terbuka di rangkaian runcit tersebut.

Pengendali kedai rangkaian serbaneka tersebut telah tampil membuat permohonan maaf susulan penjualan stoking berkenaan di salah satu cawangannya di Bandar Sunway, Petaling Jaya.

KK Mart dalam satu kenyataan berkata, tindakan serta-merta telah diambil dengan memberhentikan penjualan stoking tersebut.

Terdahulu, media melaporkan, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim murka serta menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di sebuah rangkaian kedai serbaneka.

Justeru, Seri Paduka Baginda bertitah mahu tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam isu ini berdasarkan siasatan pihak berkuasa. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.