Untuk Rakyat, Kementerian Luar Sedia Bantuan Konsular Tanpa Mengira Waktu, Keadaan

KUALA LUMPUR, 20 Mac – Kementerian Luar Negeri sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan konsular kepada warganegara Malaysia yang memerlukan tanpa mengira waktu dan keadaan.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata, situasi keselamatan dan perkembangan politik luar negara sering dipantau agar kementerian dapat memberikan nasihat yang sewajarnya kepada rakyat sekiranya mereka berhasrat untuk melakukan perjalanan ke luar negara.

“Kementerian Luar Negeri melalui Perwakilan Diplomatik Malaysia di luar negara sentiasa bersedia menghulurkan bantuan konsular kepada warganegara Malaysia yang memerlukan, tanpa mengira waktu dan keadaan. Ini termasuklah warganegara Malaysia yang menetap, melancong atau melakukan apa jua urusan di luar negara.

“Pertama sekali, Kementerian Luar Negeri sentiasa memantau situasi keselamatan dan perkembangan politik di luar negara melalui Perwakilan Diplomatik Malaysia. Dengan adanya pemantauan tersebut, kementerian akan dapat memberikan nasihat sewajarnya kepada warganegara Malaysia terutamanya mereka yang berhasrat untuk melakukan perjalanan ke kawasan konflik supaya mereka boleh menimbang semula perancangan mereka, sama ada untuk meneruskan atau menundakan perjalanan.

“Nasihat ini diberikan dalam pelbagai bentuk termasuk ‘Travel Advisory’ atau siaran akhbar yang dikeluarkan oleh kementerian dari semasa ke semasa. Nasihat ini penting bagi mengelakkan warganegara Malaysia terkandas atau terperangkap dalam situasi yang tidak diingini,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Negara, hari ini.

Menurutnya, pelan evakuasi akan diaktifkan sekiranya terdapat warganegara Malaysia yang terkandas dalam situasi darurat atau konflik ketika sedang berada di luar negara.

“Sekiranya terdapat warganegara Malaysia yang terkandas dalam situasi darurat atau konflik, Kementerian Luar Negeri atau Perwakilan Diplomatik Malaysia di luar negara akan mengaktifkan pelan evakuasi dengan kerjasama agensi-agensi di Malaysia bersama di negara tuan rumah bagi membantu warganegara Malaysia yang terlibat ke suatu kawasan selamat dan seterusnya dibawa pulang ke Malaysia.

“Proses ini memerlukan kerjasama erat antara Perwakilan Diplomatik Malaysia di luar negara dan pihak berkuasa tempatan bagi menentukan jenis bantuan dan evakuasi yang sesuai bergantung kepada jenis krisis dan situasi semasa.

“Dalam kesempatan ini, saya ingin menekankan kepentingan para pengembara untuk mendaftarkan diri dengan Perwakilan Diplomatik Malaysia di luar negara agar komunikasi semasa krisis dapat dilaksanakan dengan lancar dan segera,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut memberi jaminan bahawa Kementerian Luar Negeri akan sentiasa komited dalam mempertingkatkan bantuan konsular kepada warganegara Malaysia bagi menjamin hak dan kepentingan mereka di luar negara.

“Selaras dengan era globalisasi, semakin ramai warganegara Malaysia dijangka akan melakukan perjalanan ke luar negara bagi pelbagai tujuan termasuk melancong mahupun berniaga, saya sedar betapa besarnya tanggungjawab Kementerian ini dalam memastikan hak dan kebajikan warganegara Malaysia sentiasa terjaga.

“Kementerian ini melalui Perwakilan Diplomatik Malaysia sentiasa komited dalam mempertingkatkan bantuan konsular kepada warganegara Malaysia bagi menjamin hak dan kepentingan warga Malaysia di luar negara,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.