UMNO Terus Dukung Agenda Martabat Pendidikan Anak Bangsa – Awang Aslee

BEAUFORT, 19 Mac – Pendidikan adalah antara agenda perjuangan UMNO yang tidak pernah padam malah ia dimanfaatkan sebagai peluang terbaik untuk keluar dari garis kemiskinan dan membentuk masa depan yang lebih baik.

Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat menegaskan bahawa memartabatkan pendidikan dikalangan anak-anak bangsa adalah salah satu daripada agenda perjuangan UMNO.

Katanya yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Pusat Giat MARA Parlimen Beaufort, pendidikan yang baik akan mampu mengubah masa hadapan dengan pelbagai peluang akan dapat diteroka.

“Kesukaran hidup yang dilalui pelajar terutama dari kawasan pedalaman memberikan satu kekuatan dan menjadi pendorong demi matlamat mengubah seluruh masa depan kerana pendidikan yang ada akan menjamin peluang pekerjaan yang lebih baik lantas dapat memberikan kehidupan yang lebih terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Berbuka Puasa bersama warga Kolej Komuniti Beaufort yang diadakan semalam.

Dalam hal berkaitan, Awang Aslee menekankan pentingnya anak-anak muda terus tekun menimba ilmu dan memanfaatkan peluang pendidikan yang ada.

“Kerajaan melalui pelbagai agensinya seperti Yayasan Pelajaran MARA telah mengambil peranan dan tanggungjawab untuk membantu golongan pelajar serta memberikan pelbagai sokongan bagi memastikan anak bangsa mempunyai peluang pendidikan terbaik.

“Ini juga adalah inisiatif perjuangan yang sentiasa diangkat oleh UMNO kerana sedar bahawa pendidikan terbaik akan memberi peluang dan ruang yang lebih besar dalam kehidupan anak-anak selaku pewaris generasi masa hadapan,” katanya lagi.

Hadir sama dalam program tersebut ialah Pengarah Kolej Komuniti Beaufort, Julkifli Awang Besar, Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Beaufort, Juriffah Safflie di samping para pensyarah dan kakitangan Kolej Komuniti Beaufort.

Turut sama meraikan para pelajar di sini ialah Naib Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Rashid Mathon; Ketua Pergerakan Puteri UMNO Beaufort, Munira Sarrie serta barisan kepimpinan empat peringkat UMNO Bahagian Beaufort. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit