Rebut Keberkatan Ramadan Sebagai Bulan Penyatuan Semua Kaum – Nik Mohd Nadzri
KENINGAU, 18 Mac – Terlalu banyak keberkatan di bulan Ramadan ini yang umat Islam perlu hayati sepenuhnya yang antaranya menjanjikan keamanan, perpaduan serta keharmonian.
Ketua UMNO Bahagian Keningau, Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi berkata, keberkatan Ramadan ini bukan sahaja harus direbut oleh umat Islam, malah boleh dimanfaatkan untuk penyatuan semua kaum dalam mewujudkan persefahaman, kerjasama dan saling bantu-membantu.
“Adalah penting dalam keadaan sekarang dan hari-hari mendatang, penyatuan yang dapat diwujudkan menjanjikan perpaduan semua kaum dan seterusnya menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman dan selamat sebagaimana konsep Kerajaan Perpaduan yang menjadi tunjang pemerintahan negara ketika ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Berbuka Puasa UMNO Zon 4 yang melibatkan UMNO Bahagian Keningau, Tenom, Pensiangan dan Ranau di kediaman beliau, dekat sini, kelmarin.
Majlis itu dirasmikan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Yakub Khan yang mewakili Ketua UMNO SabahM Datuk Seri Bung Moktar Radin. Turut hadir MKT UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hasan; Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin, Ketua UMNO Bahagian Tenom, Raime Unggi dan Ketua UMNO Pansiangan, Busiau Ampirak serta kepimpinan lain dan masyarakat setempat.
Nik Mohd Nadzri yang teruja dengan kehadiran orang ramai ke majlis tersebut berkata, acara terbabit bukan sahaja dihadiri oleh masyarakat Islam namun turut disertai oleh rakyat bukan Islam khususnya yang menggambarkan tahap keharmonian kaum di negeri ini terus terpelihara.
“Momentum ini perlu terus dipertahankan walaupun berlainan fahaman agama, budaya termasuk fahaman politik, rakyat khususnya di negeri ini perlu menolak parti politik yang terlalu sempit dengan perkauman seperti mewujudkan sentiman parti luar atau parti Malaya yang boleh memecahbelahkan konsep perpaduan di negara ini,” katanya.
Menurut Nik Mohd Nadzri yang juga Pengerusi Sekretariat NGO dan Profesional Muda UMNO Sabah, penyatuan dan perpaduan dalam Ramadan ini amat penting untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman dan secara langsung membolehkan rakyat meneruskan kehidupan harian tanpa rasa takut atau bimbang.
Beliau juga turut mengajak umat Islam agar mengambil kesempatan dalam Ramadan ini untuk meluangkan masa bukan sahaja beribadah, malah menyantuni rakan-rakan, jiran dan masyarakat setempat termasuk mereka yang uzur, keluarga yang susah, sakit dan sebagainya dengan menghulurkan bantuan mengikut kemampuan masing-masing. – UMNO Online
Oleh: Jaafar Abd Wahid