UMNO Perlu Realistik, Rencana Usaha Menjadi ‘Juara Isu Rakyat’ – Mohamad Nazrin Faiz
KUALA LUMPUR, 16 Mac – UMNO perlu lebih realistik dan merencanakan usaha untuk menjadi ‘juara isu rakyat’ dalam mendepani cabaran bagi bangkit semula serta diterima oleh rakyat.
Setiausaha Biro Perkaderan dan Latihan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (PPUM), Mohamad Nazrin Faiz Che Abdul Aziz berkata, UMNO perlu membuatkan rakyat sedar akan keberadaan mereka untuk menyelesaikan segala permasalahan.
“Kita kena lihat kepada beberapa kes terutamanya di Indonesia kenapa Golkar mengambil masa yang agak lama sehingga ke hari ini baru boleh bersama-sama dengan calon Presiden nombor dua, Probowo Subianto dalam satu kolaborasi yang disebut ‘Indonesia Maju’.
“Itu pun tidak boleh menyatakan bahawa mereka sudah ‘bounce back’. Bagi saya kita kena pertamanya, realistik. Kedua, kita perlukan masa untuk kembali tetapi para pimpinan yang ada mesti terus merencana usaha untuk kita terus menjadi ‘juara rakyat’. Macam mana pun, inilah usaha yang kita perlu lakukan.
“Saya ambil contoh, kalau dahulu dalam mesyuarat cawangan UMNOlah kita menyelesaikan masalah-masalah rakyat di dalam kawasan seperti ketiadaan elektrik, kematian dan sebagainya. Rakyat mesti tahu dan sedar bahawa kita yang sentiasa bersama menyelesaikan masalah mereka,” katanya kepada UMNO Online.
Menurutnya, UMNO juga perlu mengurangkan jurang bersama rakyat dan mempunyai pelan yang khusus untuk menarik semula sokongan mereka.
“Saya juga melihat bahawa kita perlu mengurangkan jurang dengan rakyat. Kita faham bahawa terdapat hierarki dan sistem. Tetapi, kita perlu melihat apakah kekurangan dihadapi sehingga menyebabkan rakyat tidak mahu bersama kita.
“Adakah sentimen bersama parti-parti tertentu ataupun cara pemimpin-pemimpin kita mengurus tadbir? Kita kena ada satu pelan yang khusus. Jadi, kalau dahulu boleh dikatakan kita ini mengharapkan undi daripada tiga juta ahli kita, tetapi sekarang kita kena shift kepada ke arah lebih berpaksikan rakyat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau mengharapkan agar pihak lawan menjadi pembangkang yang berkualiti dan memberikan sumbangan kepada negara dengan cara mereka tersendiri.
“Kalau kita nak singkap panjang penubuhan Kerajaan Perpaduan… tetapi past is past. Sekarang kalau kerajaan laksanakan tugas untuk menjadi yang terbaik, mereka akan berusaha melaksanakan polisi, rancangan dan sebagainya.
“Tetapi pihak lawan yang berada di luar sana mestilah menjadi pembangkang yang berkualiti. Jangan emosional, tunjukkan kita ada justifikasi dan memberikan saranan-saranan yang baik. Pada akhirnya tidak kira anda adalah pembangkang ataupun kerajaan, kedua-duanya mestilah menyumbang dengan cara yang tersendiri kepada negara.
“Inikan rumah dan Malaysia kita. Jika ada lagi pihak yang cuba untuk menggugat keharmonian, banyak cerita tentang langkah itu, ini dan sebagainya saya rasa kita perlu menghentikannya,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut mengajak semua pemimpin untuk menjalankan gerak kerja dan peranan mereka sebaik mungkin dalam merebut semula hati rakyat.
“Sekarang kita fokuskan peranan kita dan laksanakannya sebaik mungkin kerana rakyat sentiasa melihat. Rakyat melihat peranan, gerak kerja di kawasan kerana lima tahun ini bukannya lama.
“Bagi saya, pastikan kita melaksanakan kerja sebaik mungkin. Anda memberi khidmat kepada rakyat, mereka akan memilih anda. Pada hari ini kerajaan sudah terbentuk dan kita mahu kerajaan yang lebih baik sehingga mampu memberi manfaat maksimum kepada rakyat.
“We do our task and mission so that Malaysia will be great again. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman