Presiden UMNO Iftar Bersama Penduduk Tanah Merah

TANAH MERAH, 16 Mac – Lebih 2,500 orang menghadiri program Santunan Kasih Ramadan bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang bertempat di Masjid Batang Merbau, Tanah Merah, Kelantan.

Beliau yang juga Presiden UMNO hadir ke majlis yang bermula kira-kira pukul 6 petang dan menyantuni semua hadirin yang diraikan terdiri daripada pelajar pusat tahfiz, asnaf dan masyarakat setempat di sekitar daerah ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menunaikan solat Maghrib, Isyak serta solat sunat Tarawih berjemaah di masjid berkenaan.

Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Nor Jazlan Yaakub, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad, Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), Datuk Zawawi Othman dan seluruh jawatankuasa UMNO Negeri Kelantan, bahagian serta kakitangan kerajaan pelbagai peringkat.

Majlis iftar tersebut berlangsung dalam suasana sederhana namun meriah. Turut diadakan penyampaian sumbangan kepada mereka yang diraikan.

Selain merapatkan jalinan ukhwah antara kepimpinan dan masyarakat, Ahmad Zahid turut menyampaikan sumbangan kepada 100 asnaf, anak yatim dan pelajar tahfiz. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit