Pembangunan Modal Insan Antara Tumpuan UMNO Putatan – Jeffrey

PUTATAN, 16 Mac – Pembangunan modal insan selain soal pendidikan untuk masyarakat di kawasan Parlimen Putatan merupakan antara perkara yang menjadi tumpuan oleh UMNO bahagian Putatan.

Ketuanya Jeffery Nor Mohamed berkata, UMNO bahagian itu sentiasa menyokong aktiviti yang dijalankan sekolah yang merupakan komitmen dan tanggungjawab bersama membangunkan pendidikan anak-anak khususnya di kawasan tersebut.

Katanya, melalui penglibatan tersebut keperluan tambahan dan bantuan yang diperlukan oleh sekolah khususnya ibu bapa pelajar dapat didengar dan diambil tindakan sewajarnya.

“Kita (UMNO) akan usahakan apa juga bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada pihak sekolah dan ibu bapa khususnya golongan B40 untuk menjana kemajuan serta kecemerlangan pendidikan di kawasan ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Back To School Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Agama Rakyat As-Salam Kampung Contoh dekat sini kemarin.

Menurut Jeffery yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Giat MARA Parlimen Putatan program tersebut merupakan program tahunan UMNO Bahagian Putatan yang bertujuan untuk membantu meringankan beban ibu bapa khususnya golongan B40 dalam menyediakan keperluan pendidikan untuk anak-anak mereka.

“Matlamat kita adalah membantu pelajar-pelajar yang sangat memerlukan bantuan di kawasan ini merangkumi dua DUN (Dewan Undangan Negeri) iaitu Tanjung Keramat dan Tanjung Aru, walaupun bantuan ala kadar namun kita berharap ia akan dapat meringankan beban ibu bapa pelajar yang terlibat apa lagi dalam keadaan ekonomi yang amat mencabar ketika ini,” katanya.

Jeffrey yang juga Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah menambah, menjadi hasrat beliau pembangunan pendidikan di kawasan tersebut akan terus cemerlang di mana satu rumah satu golongan berpendidikan dan diadun pula dengan pembangunan insan maka akan lahirlah generasi yang memakmur.

Sementara itu bapa bapa yang ditemui selepas majlis tersebut menzahirkan terima kasih atas keprihatinan UMNO bahagian Putatan di bawah kepimpinan Jeffrey yang sentiasa cakna tentang pembangunan modal insan melalui pendidikan di kawasan tersebut.

Bagi ibu seorang pelajar yang menerima sumbangan tersebut Laila Rusli berkata, sumbagan tersebut dapat membantu meringankan beban kelurga beliau untuk menghadapi musim persekolahan akan datang.

“Alhamdulillah sumbangan ini dapat meringankan beban kami, apalagi dalam keadaan ekonomi sekarang sudah tentu kami bersyukur dan berterima kasih kepada UMNO bahagian Putatan yang menghulurkan bantuan ini,” katanya.

Seramai 180 pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah dari Parlimen Putatan, mendapat manfaat daripada Program ‘Back To School’ Bantuan Awal Persekolahan. – UMNO ONLINE

Oleh: Jaafar Abd Wahid

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit