Kejayaan KEB 2024 Perlu Usaha Menyeluruh Pemegang Taruh Ekonomi Bumiputera – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Kejayaan sebenar Kongres Ekonomi Bumiputera adalah berdasarkan kepada usaha menyeluruh semua pemegang taruh ekonomi bumiputera untuk menterjemahkan resolusi dalam bentuk pelaksanaan yang efektif bagi memenuhi harapan dan aspirasi rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah dipertanggungjawabkan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Jawatankuasa Pemandu) yang telah diluluskan oleh Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB).

“Saya telah dipertanggungjawabkan oleh Perdana Menteri sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Jawatankuasa Pemandu) yang bertujuan untuk memurnikan serta menggerakkan ikhtiar, inisiatif mahupun program KEB 2024 yang telah diluluskan oleh MEB.

“Susulan itu, saya telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu bersama pengerusi-pengerusi Kumpulan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB). Resolusi ini diangkat menjadi agenda baharu pemerkasaan bumiputera hasil daripada penganjuran KEB 2024 pada 29 Februari sehingga 2 Mac 2024 lalu.

“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Mac 2024 telah bersetuju supaya satu sekretariat tetap ditubuhkan di bawah MEB yang akan dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri. Ini bagi memastikan setiap resolusi tersebut diperhalusi dan dipastikan keberkesanan pelaksanaannya,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Presiden UMNO turut memaklumkan bahawa mesyuarat telah memuktamadkan 74 resolusi dan 150 program yang digariskan melalui pembentangan 10 Kumpulan KEB.

“Rafizi Ramli selaku Menteri Ekonomi pula telah dipertanggungjawabkan untuk mempengerusikan Jawatankuasa Kerja MEB bagi memastikan proses pelaksanaan dapat dijalankan secara efektif dan berkesan.

“Mesyuarat telah memuktamadkan 74 resolusi (dari 82 resolusi asal yang berlaku pertindihan) dan 150 program yang digariskan melalui pembentangan 10 Kumpulan KEB. Resolusi dan program ini telah dirangkumkan di bawah Transformasi Ekonomi Bumiputera melalui Tiga Matlamat iaitu Keadilan Sosio-ekonomi, Kemampanan Negara Bangsa dan; Kemakmuran Negara serta Kesejahteraan Rakyat.

“Ini termasuk juga cadangan Perbadanan Tanah Bumiputera, Tabung Waqaf MARA Madani, Generasi Usahawan Bumiputera dan Pembangunan Tanah Rizab Melayu seperti yang telah diutarakan di dalam Kongres Ekonomi Bumiputera 2024, tempohari,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut menyarankan semua pihak untuk memperhalusi segala tindakan susulan, memantau secara berkala dan memastikan agar pelaksanaannya ditambahbaik dari semasa ke semasa.

“Mesyuarat juga telah menetapkan jeda waktu bagi setiap kumpulan mengemukakan laporan kemajuan secara berkala dan menetapkan sasaran untuk satu Sesi Pelaporan Setahun Pelaksanaan KEB dilakukan secara berperingkat, dibentangkan sepenuhnya pada Mei 2025. Ini bagi meningkatkan keyakinan rakyat akan kesungguhan Kerajaan Madani di dalam melaksanakan apa yang telah diresolusikan.

“Bagi mengukur kejayaan sebenar KEB 2024 ia terletak pada usaha menyeluruh semua pemegang taruh ekonomi bumiputera untuk menterjemahkan resolusi tersebut dalam bentuk pelaksanaan yang efektif bagi memenuhi harapan dan aspirasi rakyat. Segala tindakan susulan akan sentiasa diperhalusi, dipantau secara berkala dan pelaksanaannya ditambahbaik dari semasa ke semasa untuk mengangkat darjat ekonomi Bumiputera ke tahap yang lebih baik,” katanya lagi.

Dilaporkan, KEB 2024 yang berlangsung pada 29 Februari sehingga 2 Mac lalu adalah landasan dalam proses pemerkasaan ekonomi Bumiputera, seterusnya bermatlamat merapatkan jurang antara kaum di Malaysia.

Matlamat kongres ini adalah mencadangkan hala tuju dan pendekatan baharu serta penambahbaikan agenda pemerkasaan Bumiputera lebih adil, saksama dan inklusif serta pendekatan baharu untuk mengukur tahap penyertaan dan kawalan ekonomi Bumiputera lebih bermakna.

KEB 2024 menggariskan lebih 80 resolusi sebagai agenda pemerkasaan Bumiputera, diperoleh hasil libat urus dikelolakan menerusi 10 kluster merangkumi pelbagai aspek dibentangkan sepanjang tiga hari berlangsung kongres berkenaan. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.