Azalina Tekankan Pentingnya Kewujudan Perundangan Tangani Cabaran Seiring Perkembangan Teknologi

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menekankan betapa pentingnya kewujudan satu perundangan prosedur khusus yang dapat menangani cabaran- cabaran yang sedang dialami dan bakal timbul seiring dengan perkembangan teknologi.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata demikian menerusi hantaran dalam laman Facebooknya berikutan semalam telah Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Cadangan Penggubalan Undang-undang Baharu Berkaitan Dengan Kemudaratan Jenayah Dalam Talian Bil 2/2024.

“Pada mesyuarat tersebut, saya telah menekankan betapa pentingnya kewujudan satu perundangan prosedur khusus yang dapat menangani cabaran- cabaran yang sedang dialami dan bakal timbul seiring dengan perkembangan teknologi.

“Teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin maju akan terus berkembang, maka kita sewajarnya membuat persiapan dari sekarang agar kita dapat ‘stay one step ahead’ dalam perkara ini,” katanya.

Mesyuarat tersebut diadakan bersama Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Fadzil dengan turut disertai Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang & Reformasi Institusi), M.Kula Segaran.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang turut memaklumkan bahawa ‘working draft’ bagi Rang Undang-Undang Keselamatan Digital 2023 (Digital Safety Act 2024 – DSA) telah berjaya dirangka.

“Saya juga memaklumkan bahawa ‘working draft’ bagi Rang Undang-Undang Keselamatan Digital 2023 (Digital Safety Act 2024 – DSA) telah berjaya dirangka oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, JPM (BHEUU, JPM) sebagai titik permulaan bagi mengerakkan inisiatif penggubalan rang undang-undang ini pada kadar segera, selaras dengan hasrat YAB Perdana Menteri,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.