Peluang Luas Bagi Malaysia Perkasa Sektor E&E Ekoran Kemelut AS-China – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 12 Mac – Malaysia menjangkakan wujudnya peluang luas yang boleh dimanfaatkan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) susulan kemelut Amerika Syarikat (AS) dan China.

Ketika berkongsi rasa optimis itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata keyakinan berkenaan turut disokong oleh pengalihan aliran pelaburan ke rantau ini berikutan konflik geopolitik berkaitan.

Sehubungan itu, beliau berkata adalah wajar bagi Malaysia untuk memanfaatkan kesempatan itu, apalagi dengan kedudukannya yang telah lama menceburi sektor berkenaan.

“Saya yakin kerana melihat sendiri (kelompok) pelabur yang besar adalah dari sektor E&E. Ini menunjukkan aliran rantaian bekalan itu di Asia Tenggara dan Malaysia sendiri merupakan salah satu negara yang telah lama berkecimpung dalam industri ini,” katanya dalam program Ruang Bicara Bernama TV malam tadi.

Mengulas selanjutnya, Tengku Zafrul juga menyifatkan sektor E&E sebagai amat penting bagi Malaysia dengan RM85 bilion atau 56 peratus daripada jumlah pelaburan diluluskan pada tahun lepas merangkumi sektor pembuatan.

“Inilah antara sasaran Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP2030). Sektor ekonomi digital yang pesat semuanya memerlukan komponen E&E seperti cip selain industri semikonduktor,” katanya.

Beliau juga melihat isu geopolitik antara AS-China memberi peluang kepada Malaysia untuk memperkuatkan industri berkenaan bagi membolehkan lebih banyak pelabur masuk, sekali gus dapat meningkatkan industri berkaitan.

Di pihak kerajaan, katanya, cabaran lebih kepada usaha menyiapkan pekerja yang berkemahiran.

“Di Malaysia, kita ada banyak bakat tapi susulan kemasukan pelaburan yang banyak, ini telah menjadi isu. Oleh itu, bagi jangka pendek ini, kita (sedang) mencari jalan untuk memastikan dapat menampung permintaan bakat berkemahiran tinggi daripada pelabur-pelabur asing,” katanya.

Tengku Zafrul turut merujuk langkah syarikat Intel memberi komitmen melabur RM30 bilion bagi tempoh lebih 10 tahun untuk mengembangkan operasinya di Pulau Pinang dan Kedah yang menunjukkan syarikat memerlukan sekurang-kurangnya tempoh dua hingga tiga tahun untuk membuat persiapan sewajarnya.

“Pelaburan tambahan berkenaan dijangka mewujudkan lebih 4,000 peluang pekerjaan di Intel.

“Berikutan itu, mereka telah bekerjasama dengan Universiti Sains Malaysia untuk membangunkan kalangan bakat yang berkemahiran tinggi,” katanya.

Pada masa sama, katanya, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri turut bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam usaha menarik kalangan ekspatriat Malaysia untuk pulang dan berkhidmat di dalam negara.

“Ramai juga rakyat kita yang bekerja sebagai jurutera, bukan sahaja di Singapura, tetapi juga di AS dan Eropah.

“Oleh itu, bagi rancangan jangka pendek, saya akan berbincang dengan Menteri Pengajian Tinggi dan Menteri Sumber Manusia untuk mencari penyelesaiannya,” kata Tengku Zafrul.- Bernama

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.