Perjuangan UMNO Bukannya Mudah, Hasilnya Dinikmati Seluruh Rakyat – Dr Akmal

ALOR GAJAH, 8 Mac – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan perjuangan UMNO bukannya mudah dan bukan juga untuk kepentingan peribadi.

Ini kerana katanya, hasil perjuangan UMNO ini akan dinikmati oleh semua masyarakat dan ini cukup bererti bagi rakyat.

“Perjuangan ini tak pernah mudah kerana ianya bukan kepentingan peribadi. Perjuangan ini akan letih apabila ditekan, disekat, dihentak kiri dan kanan tetapi apa yang menjadi manisan dalam perjuangan ini apabila apa yang diperjuangkan dapat dinikmati oleh semua orang.

“Perjuangan ini bukan hanya yang lembik, perjuangan ini bukan hanya hati yang rapuh, bukan juga orang yang mencari keuntungan kepentingan diri sendiri. Perjuangan ini untuk yang benar-benar cekal, yang benar-benar kental, yang tahan lasak dan paling penting yang benar-benar ikhlas sayangkan parti keramat UMNO ini,” katanya pada Kursus Pengukuhan Komunikasi bagi Penerangan Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Malaysia, malam tadi, di sini.

Turut hadir Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Mustapa Musa serta Exco-exco Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO.

Seterusnya, Dr Akmal mengharapkan semangat perjuangan parti terus mekar demi agama, bangsa dan negara.

“Kita dah kalah dan ditimpa tangga. Apa lagi yang tinggal kalau bukan hanya semangat perjuangan mencintakan parti.

“Jika kamu yang bukan dari golongan yang disebut tadi, biarlah perjuangan diteruskan oleh sesiapa yang benar-benar berjuang walaupun hanya tinggal aku seorang. Perjuangan demi agama, bangsa dan negara akan terus UMNO perjuangkan,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit