Pemuda Dan Puteri UMNO Pewaris Perjuangan Bangsa, Salurkan Semangat Ke Seluruh Negara
ALOR GAJAH, 8 Mac – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Mustafa Musa menegaskan bahawa Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO adalah pewaris kepada perjuangan yang berpaksikan agama, bangsa dan negara.
Katanya yang juga Ahli Dewan Negara, dengan kepimpinan Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO yang masih terus membara ketika ini maka beliau yakin bahawa parti tersebut akan kembali bangkit.
“Dengan kepimpinan Pemuda dan Puteri yang penuh semangat menempuh cabaran maka saya yakin figura ini mampu menjentik aura baharu dan mampu memberikan satu saluran perjuangan yang tulen,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Kursus Pengukuhan Komunikasi Penerangan peringkat Pemuda dan Puteri UMNO, di sini, malam tadi.
Katanya, dengan keadaan politik hari ini, anggota Pemuda dan Puteri menjadi bukti bahawa penyertaan mereka adalah atas nama perjuangan.
“Pemuda dan Puteri kini menyertai UMNO bukan kerana jawatan atau harapkan balasan apa-apa tetapi atas semangat meneruskan perjuangan yang telah diwariskan kepimpinan terdahulu.
“Sebab UMNO ini parti berjasa. Walau UMNO dihina dihimpit, namun menyerah tidak sekali-kali. UMNO inilah perjuangan kita, dengan Islam junjungan kita untuk kita sentiasa perjuangkan.”
Justeru beliau mengajak anak muda yang merupakan sayap UMNO untuk meneruskan tekad dan menebus kekalahan sebelum ini dengan kejayaan.
“Ayuhlah anak-anak muda pejuang bangsa penebus maruah, jangan undur dan pastikan perjuangan UMNO terus membara.
“Sampaikanlah semangat perjuangan ini ke segenap negara agar hasrat membela nusa bangsa tidak luntur,” katanya lagi.
Turut sama dalam program tersebut ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh dan Ketua Pergerakan Puteri, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi yang merasmikan kursus terbabit di samping kehadiran Ketua-ketua Penerangan Pemuda dan Puteri dari seluruh negara.
Dilaporkan seramai 160 orang anggota UMNO terdiri daripada jentera penerangan Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO berkampung selama tiga hari menjayakan Kursus Pengukuhan Komunikasi Penerangan Pemuda dan Puteri UMNO bermula semalam. – UMNO Online