GERAK 17: Bung Moktar Mahu UMNO Sabah Kembali Kukuh Di Persada Politik

TELUPID, 8 Mac – Jelajah Akar Umbi (GERAK 17) kepimpinan tertinggi UMNO Sabah yang diketuai oleh Datuk Seri Bung Moktar Radin membuka tirainya dengan menjadikan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telupid dan DUN Labuk di Beluran sebagai lokasi pertama ia diadakan.

GERAK 17 ini bermula di kawasan zon lima yang akan diteruskan ke DUN Sekong, DUN Sungai Manila dan DUN Sungai Sibuga iaitu melibatkan semua bahagian UMNO di zon ini.

Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berkata program ini bertujuan untuk menemui pemimpin dan ahli peringkat akar umbi bagi berkongsi mengenai perkembangan politik semasa, selain meninjau persediaan jentera parti di peringkat bahagian bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan datang.

“Alhamdulillah, semangat serta momentum ahli di peringkat akar umbi masih kukuh, kehadiran ahli yang di luar jangkaan membayangkan kesetiaan serta prinsip mereka untuk terus berjuang bersama UMNO masih kuat, walaupun program yang kita aturkan tidak menyediakan apa-apa kemudahan namun mereka hadir dengan hati yang sukarela,” katanya ketika ditemui selepas program ini di Telupid, kelmarin.

Menurut Bung Moktar, GERAK 17 dilaksanakan atas keinginan melihat UMNO dominan semula dan gagah untuk menghadapi PRN akan datang.

“Kalau semangat ini dapat diletakkan semula, insya-Allah, saya yakin bahawa UMNO akan berada kembali di persada politik untuk mengambil alih pemerintahan yang ada ketika ini,” katanya.

Dalam ucapannya, Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menyeru kepada seluruh ahli agar bangkit membina kekuatan parti dengan menggunakan segala jentera yang ada.

Katanya, selain politik pembangunan dan politik khidmat, UMNO juga perlu tangkas dalam politik isu dan sentimen yang sering dimainkan di media sosial serta jentera parti perlu menangkis setiap serangan yang dihala ke arah UMNO.

“Kita sedang berhadapan dengan serangan pihak lawan yang menggunakan media sosial untuk menabur fitnah, memperlekeh perjuangan kita maka kita perlu lawan dan nafikan dakwaan mereka demi mempertahankan imej serta kekuatan UMNO daripada diperlekehkan,” katanya.

Menurut Bung, melalui jelajah GERAK 17 ini diharapkan suntikan motivasi dan tiupan semangat untuk membangkitkan roh perjuangan UMNO di kalangan ahli dapat dipulihkan dan ini perlu disertai dengan semangat dan tekad yang kuat.

“Setiap ahli perlu istiqamah dan memahami aspirasi perjuangan UMNO malah mampu menterjemahkannya dalam bentuk tindakan untuk bersama kepimpinan memperkuatkan parti.

“Jika kita mahu menang lakukan kerja cara nak menang, kita satukan pemikiran, satukan tindakan dan satukan hati, barulah ukhuwah sesama ahli diperkukuh dan rangkaian yang lebih meluas dapat diwujudkan untuk menarik lebih sokongan.

“Semangat kekitaan dan sepasukan merupakan ramuan penting untuk kita perhebatkan UMNO agar kembali kuat dan dapat menarik keyakinan rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.