Puteri UMNO Wangsa Maju Sumbang Beg, Peralatan Sekolah Kepada 60 Pelajar – Nurul Ashikin

KUALA LUMPUR, 7 Mac – Pergerakan Puteri UMNO Wangsa Maju meneruskan aktiviti tahunan dengan menyampaikan sumbangan beg dan peralatan sekolah kepada 60 pelajar sebagai persiapan untuk memulakan sesi persekolahan 2024.

Ketuanya, Nurul Ashikin Mohamad Rafi berkata ‘Program Back to School’ yang dilaksanakan secara bersasar ini bertujuan meringankan beban ibu bapa dan juga sebagai memberi semangat kepada pelajar.

 

“Ini adalah program tahunan Pergerakan Puteri UMNO Wangsa Maju untuk diagihkan kepada 60 pelajar di seluruh Parlimen Wangsa Maju.

“Bantuan ini diharap dapat menceriakan murid supaya lebih bermotivasi ke sekolah apabila menerima beg dan peralatan sekolah yang baru, berharap anak-anak yang bakal ke sekolah penggal baru 2024 lebih semangat,” katanya kepada UMNO Online.

Turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Norsham Din; Setiausaha Kerja, Mohd Khairul Bahari Abdul Rahman dan ahli jawatankuasa UMNO Bahagian. 

Pada masa yang sama kata Nurul Ashikin lagi, program ini akan diteruskan dan itu adalah tanda keprihatinan Pergerakan Puteri UMNO Wangsa Maju.

“Program ini akan diteruskan dalam membantu golongan yang kurang berkemampuan dan ini membuktikan bahawa Puteri UMNO Wangsa Maju sentiasa cakna terhadap masyarakat di kawasan ini.

“Kami sentiasa menjaga kebajikan dan pendidikan pelajar-pelajar sekolah terutamanya selain ibu bapa sentiasa memberikan kerjasama sepenuhnya,” ujarnya.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telahpun mengeluarkan garis panduan pembukaan semula sekolah di seluruh negeri menjelang sesi persekolahan yang akan dibuka semula pada 10 Mac ini bagi negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor.

Manakala bagi negeri-negeri lain bagi sesi persekolahan akan diadakan pada 11 Mac. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.