Dr Akmal Tidak Keseorangan, Kebersamaan Pemuda UMNO Dalam Satu Barisan – Hafiz Ariffin
KUALA LUMPUR, 7 Mac – Kebersamaan Pemuda UMNO seluruh negara dalam menyuarakan isu-isu nasional dan semasa bukan sahaja mencapai konsensus malah seiring dengan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh.
Sambil menafikan Dr Akmal keseorangan dalam membawa isu-isu setempat dan nasional, Setiausaha Pemuda UMNO Hafiz Ariffin dalam satu keyataan media hari menegaskan perkara yang ditegur adalah untuk kebaikan kerajaan.
“Ada heboh beberapa hari, rakan-rakan dari parti lawan PN (Perikatan Nasional) seolah bimbang Ketua Pemuda UMNO Akmal Saleh berseorangan dalam menyuarakan isu-isu nasional dan semasa. Mereka pula bimbang di mana 191 Pemuda UMNO Bahagian yang lain dan Ketua-Ketua Pemuda Negerinya. Saya fikir tidak timbul langsung soal itu, Ketua Pemuda mendapat sokongan dalam menyuarakan pandangan bagi pihak Pemuda.
“Ketua Pemuda adalah representasi kepada sayap Pemuda. Perkara yang ditegur kepada kerajaan adalah untuk penambahbaikan dan memperbetulkan. Bukan mahu meruntuhkan. Satu pandangan itu cukup kukuh untuk memberikan isyarat tentang pendirian Pemuda dalam satu-satu hal.
“Sebagai contoh, pasukan Pemuda UMNO ada sahaja bersama dalam segenap hal antaranya konflik Israel – Palestin, isu beras, isu pengiktirafan Kg Baru di UNESCO, skim pencen penjawat awam, isu pelawak melampau – Joycelyn Chia, isu cadangan PM (Perdana Menteri) bukan Melayu / Bumiputera serta insiden di antara Menteri Pelancongan dan Pegawai Imigresen,” katanya.
Katanya lagi persoalan yang lebih besar, di manakah suara pemuda-pemuda dari parti pembangkang dan adakah benar-benar tinggal seorang sahaja ketuanya kerana tidak pernah juga nampak yang lainnya.
“Bahkan kita seolah lupa ada parti pembangkang, kerana terlalu sunyi khasnya dari sayap orang mudanya. Kami hargai kebimbangan yang dilahirkan kepada Ketua Pemuda kami. Tapi kami lebih bimbang kalau rakyat lupa kita ada pembangkang yang tidak begitu kelihatan.
“Pautan berita di bawah ini adalah salah satu contoh tiada kebersamaan dalam parti yang bimbang akan Ketua Pemuda UMNO. Elok berilah tumpuan supaya nampak lebih ada kebersamaan di sebelah sana,” ujarnya yang turut melampirkan pautan berita: https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2024/03/06/sasha-not-authorised-to-issue-statements-on-taylor-swifts-concert-says-wan-fayhsal/ . – UMNO Online