Ahmad Zahid Berharap Hubungan Dua Hala Diplomatik Malaysia-Qatar Kekal Utuh
KUALA LUMPUR, 7 Mac – Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap hubungan dua hala diplomatik di antara Malaysia dan Qatar kekal utuh.
Katanya, menjadi harapan agar hubungan itu memberikan kelebihan dari segenap aspek khususnya dalam memelihara kemaslahatan umat Islam khususnya bagi kedua-dua negara dan dunia secara keseluruhannya.
“Saya telah memanfaatkan pertemuan ini untuk membincangkan mengenai hubungan dua hala diplomatik di antara Malaysia dan Qatar termasuk kerjasama melibatkan peluang pendidikan, ekonomi, melahirkan para huffaz dan persidangan produk halal.
“Saya juga mengambil kesempatan pada pertemuan ini untuk membicarakan perkembangan terkini isu di Palestin dan juga mengutarakan pelbagai perkara tentang masa depan dunia Islam,” kata Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dalam satu hantaran di platform media sosialnya.
Semalam, Ahmad Zahid telah memenuhi undangan makan malam di kediaman Duta Besar Qatar, TYT Salah Mohammed Abdullah Busiol Al-Sorour.
Hadir sama Setiausaha Agung UMNO merangkap Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Jamil Khir Baharom. – UMNO ONLINE