Mantapkan Gerak Kerja, Terus Yakini UMNO Sebagai Teras Perjuangan – Awang Aslee
BEAUFORT, 5 Mac – Kesiapsiagaan UMNO bagi berdepan pelbagai cabaran termasuklah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka dalam masa terdekat diaplikasi oleh anggota parti pelbagai peringkat.
Dalam hal ini, Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat menzahirkan penghargaan atas penglibatan golongan muda termasuklah Puteri UMNO yang bersama-sama memperkemas gerak kerja parti.
Kata Awang Aslee, perjuangan UMNO harus dilakukan dengan usaha yang gigih, sanggup bekerja keras dan konsisten terhadap matlamat untuk terus berjaya.
“Apa yang penting adalah keyakinan terhadap perjuangan UMNO iaitu satu-satunya parti yang boleh menjamin masa depan anak bangsa dan menjadi teras dalam perjuangan.
“Untuk anak-anak muda perlu faham bahawa perjuangan kita ini tidak mudah, namun saya yakin anak-anak semua akan belajar dari perjuangan kita hari ini dengan memahami sejarah lampau lantas mencipta kejayaan pada masa hadapan,” katanya kepada UMNO Online.
Sebelum itu, beliau telah menyantuni jemputan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Beaufort yang diketui oleh Munira Sarrie dalam mesyuarat mereka.
“Terima kasih anakanda Munira Sarrie selaku Ketua Puteri bahagian dan ahli jawatankuasanya yang telah melaksanakan dan membincangkan pelbagai gerak kerja bagi memastikan UMNO bersemarak dalam kalangan orang muda.
“Tahniah Puteri UMNO Beaufort yang menampakkan gerak kerja yang lebih kemas, tersusun dan mantap, terutamanya dalam pembentukan jawatankuasa biro-biro dan penyalaras di setiap DUN.
“Begitu juga dengan pembentukan cawangan-cawangan Puteri yang baharu dengan anak-anak muda menjadi jaminan bahawa UMNO Beaufort berada di landasan yang cukup baik.”
Dalam masa yang sama beliau melahirkan keyakinan bahawa dengan pelbagai pelaksanaan yang telah digerakkan maka UMNO akan sentiasa mendapat tempat di kalangan rakyat. – UMNO Online