KEB 2024 Bukti Dinamika UMNO Cari Jalan Penyelesaian

KUALA LUMPUR, 5 Mac – Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 adalah satu proses yang  melihat segala dasar menerusi Dasar Ekonomi Baharu (DEB) sebelum ini dan kejayaannya diaplikasi menerusi lapan manifestasi besar yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim malah ianya menjadi pemangkin kepada 30 atau 40 tahun akan datang, kata Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim.

Menurut beliau apa yang dirancang bukannya boleh dilihat serta dinilai dalam sekelip mata sebaliknya mengambil masa untuk kejayaan yang terhasil kelak.

“Sebab ini adalah satu benda yang kita kena lihat… contohnya dahulu kita lancarkan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang kini telah menjadi satu ekosistem yang begitu besar kepada orang Melayu dan Bumiputera.

“Di situlah tumbuhnya MRSM… di situlah tumbuhnya pusat-pusat latihan IKM dan sebagainya lagi untuk menjuarai pendidikan orang-orang Melayu.

“Malah kalau dilihat KPTM sebelum ini sudah diangkat menjadi universiti dan ini semua perjuangan yang orang kata UMNO… ‘core business’ UMNO,” katanya.

Katanya lagi dinamika UMNO ini lebih mencari penyelesaian bagaimana untuk membantu masyarakat Melayu dan Bumiputera tanpa melihat agenda politik.

“Saya nak tekankan KEB 2024… ramai ‘haters’ di luar kata ini gagal dan macam-macam. Namun apabila sesuatu produk ataupun dasar itu berjaya mereka inilah orang yang akan datang dan pergi dahulu untuk merebut peluang-peluang yang ada.

“Kadangkala terdapat masyarakat yang skeptikal… lebih kepada negatif… kalau kita lihat dan kita tengok kepada apakah intipatinya daripada KEB tersebut ianya cukup banyak. Jadi janganlah kita dibuai dengan isu remeh-temeh sebaliknya kita kena lihat intipati atau apa yang dibawa menerusi KEB 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program #HitamPutihKelabu yang membicarakan ‘Kongres Ekonomi Bumiputera 2024’ anjuran Penerangan UMNO Malaysia yang disiarkan menerusi Facebook UMNO Online, malam tadi.

Turut serta sebagai panel Naib Canselor Universiti Poly-Tech Malaysia Prof Dr Syarifah Syahirah  Sy Syed dan pensyarah Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM),  Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani. Program berkenaan dihoskan Moderator, Dinie Fadil.

Gulam yang juga Ketua UMNO bahagian Batu seterusnya berpandangan KEB 2024 adalah rejuvenasi atau peremajaan semula.

“Apabila kita lihat KEB satu persatu, dasar-dasar yang kita ilhamkan daripada kongres ini adalah satu dasar yang ‘very affirmative’ dan dasar yang baik untuk bumiputera dalam negara.

“Cuma kita bukannya boleh katakan dalam tempoh lima tahun akan berjaya dan apabila dilaksanakan DEB pada 1970-an dan kemudiannya ditukar dengan dasar-dasar lain bukan bermaksud dasar-dasar yang kita laksanakan itu gagal.

“Cuma daripada segi pelaksanaan itu ada… bukan disebabkan ada isu politik tetapi kita tengok dengan kemelesetan ekonomi yang berlaku  dan sebagainya lagi namun apa yang penting adalah hasil pada masa hadapan,” tambahnya lagi.

Dilaporkan, KEB 2024 telah dianjurkan selama tiga hari mulai 29 Februari sehingga 2 Mac 2024. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.