KEB Untuk Jangka Masa Panjang Melayu Dan Bumiputera, Fokus Masa Hadapan – Mohd Razlan
KUALA LUMPUR, 4 Mac – Majlis Ekonomi Bumiputera akan memantau perjalanan dan pelaksanaan segala inisiatif yang sudah dipersetujui kerajaan untuk dilaksana hasil dari Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata paling penting dalam KEB ini adalah apa yang hendak dicapai menjadi realiti dan itu adalah perkara yang penting untuk dilaksanakan iaitu fokus kepada jangka masa panjang masa hadapan.
“Perkara ini amat penting untuk masa depan sama ada 50 atau 100 tahun untuk kaum bumiputera, bagaimana corak bumiputera untuk masa mendatang. Sudah pasti ada cabaran, dan cabaran-cabaran ini boleh diatasi dengan disiplin setiap agensi serta kementerian-kementerian yang akan mengambil tanggungjawab bagi melaksanakan inisiatif yang telah ditetapkan terutama seperti wakaf, pendidikan dan kesihatan.
“Kita lihat bagaimana tentang hak milik tanah bagi orang-orang Melayu/Bumiputera dan juga penyertaaan dalam sektor-sektor awam. Amat sedikit sektor awam yang dipunyai oleh bumiputera.”
Justeru katanya, kaum bumiputera perlu ada penyertaan dalam sektor awam dan swasta, kerana kedua-dua ini memainkan peranan yang penting bagi memastikan hak milik bumiputera dapat dikembangkan kepada satu tahap yang boleh berdaya saing diantara semua kaum.
“Sudah tentu akan institusikan KEB ini dan akan meminta MARA menjadi ahli tetap yang akan memantau segala pelaksanaan atau perkara-perkara yang diputuskan dalam kongres ini,” katanya kepada UMNO Online ketika mengulas berkaitan pelaksanaan KEB yang berlangsung dengan jayanya.
Tambah Razlan, beliau percaya pemikiran bangsa dan tamadun akan melihat kemajuan yang bakal dicapai oleh kaum Melayu dan Bumiputera.
“Saya percaya ini adalah perkara yang ada dalam pemikiran bangsa sebagai tamadun kita. Tidak ada perkara yang dianggap sebagai kegagalan, cuma pemikiran ini mengambil masa yang panjang dan sebagai orang Melayu harus optimis untuk mencapai segala-gala yang ditetapkan.
“Kegagalan sebelum ini bukan satu perkara untuk melihat ke belakang, selama ini orang Melayu dilihat sebagai gagal tetapi kita telah mencorakkan negara ini dengan cukup baik dan pemikiran tamadun ini diteruskan tanpa melihat kelemahan-kelemahan bangsa kita,” jelasnya.
Pada masa yang sama kata Razlan lagi, KEB ini dilaksanakan tanpa ketirisan kerana melihat kepada semangat ke arah masa hadapan.
“Kalau tidak ada khianat, salah guna ketirisan yang dilakukan dari pihak atas hingga ke bawah, insya-Allah kita boleh dapat mencapai apa yang menjadi ‘target’ pada masa-masa akan datang.
“Ini bukan hanya kepada mereka yang di bawah tetapi ini termasuk juga mereka yang di atas untuk melaksanakan tanggungjawab ini,” ujarnya lagi.
KEB 2024 telah menutup tirai pada Sabtu lepas selepas berlangsung selama tiga hari dengan melibatkan hampir 80 resolusi dibentangkan dalam 10 kluster merangkumi semua sektor berkaitan agenda bumiputera. – UMNO Online