Isu Kemanusiaan Di Palestin, Jenayah Scam Antara Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Persidangan Dewan Rakyat hari ini antara lain akan memberi tumpuan kepada isu kemanusiaan di Palestin, jenayah scammer dan dasar naturalisasi dalam sukan bola sepak.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat melalui laman rasmi Parlimen, pada sesi soal jawab Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) akan menyoal Menteri Luar mengenai perancangan dan tindakan lanjut kerajaan dalam isu kemelut kemanusiaan di Palestin susulan kekejaman rejim Zionis serta penderitaan rakyat Palestin yang kian memuncak.

Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) pula akan bertanya kepada Perdana Menteri mengenai jumlah kerugian akibat jenayah scam dari 2020 hingga 2023 dan tindakan pihak kerajaan untuk membanteras jenayah itu secara menyeluruh.

Isu dasar naturalisasi akan dibangkitkan oleh Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) kepada Menteri Belia dan Sukan.

Puah ingin tahu jumlah pemain yang diberi kewarganegaraan bagi mewakili negara dalam Piala Asia baru-baru ini dan usaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)
untuk memajukan sukan itu serta sama ada dasar naturalisasi akan diteruskan pada masa akan datang.

Selepas sesi soal jawab lisan, persidangan akan diteruskan dengan menyambung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja yang bermula minggu lepas.
Berdasarkan takwim dalam laman rasmi Parlimen, persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung 19 hari dengan perbahasan Titah Diraja oleh Ahli-ahli
Parlimen dari 27 Februari hingga 7 Mac ini diikuti jawapan daripada kementerian berkaitan selama empat hari bermula 11 Mac.

Pembentangan serta perbahasan rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain akan diadakan pada 18 hingga 27 Mac.- BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit