Junjung Titah YDPA: Berganding Bahu Bina Negara Bangsa Demi Kesejahteraan Negara – Azhar
KUALA LUMPUR, 1 Mac – Titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 perlu dihayati semua pihak bagi memastikan keharmonian dan kesejahteraan negara, kata Senator Datuk Dr Azhar Ahmad.
Jelas beliau, kesejahteraan diperoleh dengan menfokuskan kepada kebajikan rakyat yang perlu dilakukan dalam kalangan ahli Parlimen sebagai penggubal undang-undang dengan mengenepikan perbezaan warna politik.
“Jadi YDPA sudah sebut, sebelah kanan dan kiri (kerajaan dan pembangkang). Marilah kita bekerjasama walaupun berlainan dalam ideologi untuk membela nasib melalui ekonomi, rumah, pelajaran, pekerjaan rakyat. Kenapa kita tidak boleh bersatu ntuk membina negara bangsa?
“Malah YDPA bertitah untuk kita berganding bahu, bersilaturahim dengan satu niat iaitu membina negara Malaysia. Sampai tempoh kita masuk gelanggang berperang semula (pilihan raya) untuk dapat kuasa, tidak ada masalah,” katanya ketika ditemui UMNO Online.
Azhar yang juga Ketua UMNO Bahagian Beruas dalam pada itu mengkritik pihak pembangkang yang sebelum ini memaklumkan bahawa mereka mempunyai akuan bersumpah (SD) mencukupi untuk mengambil alih kerajaan.
Katanya perkara ini memberikan imej buruk kepada pelabur asing yang sudah tentu tidak melabur di negara yang berlakunya pergelutan politik.
“Saya sangat junjung bahawa YDPA tidak mahu layan lagi dengan puak yang mengaku ada SD, cukup korum untuk jatuhkan kerajaan sedia ada, ini apa makna?
“Kalau itu berlaku atau tidak, orang lain dapat tahu. Siapa hendak melabur di negara kita? Siapa pun tidak mahu datang kalau dia lihat stabiliti sesebuah kerajaan itu tidak kuat.
“Bila orang tidak mahu melabur bermakna defisit melambung, pekerjaan tiada, rakyat susah. Jadi semua ini adalah puncanya apabila kita tidak stabil, inilah yang akan berlaku,” ujar beliau.
Menyentuh berkenaan 3R (agama, kaum, diraja), Azhar berharap semua pihak untuk tidak membangkitkan perkara sensitif seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Katanya ini kerana Perlembagaan merupakan undang-undang yang dibentuk atas dasar persetujuan oleh tiga kaum utama yang diwakili oleh Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, Tun Tan Siew Sin, Tun Sambanthan atas dasar asas sosialisasi suatu ketika dahulu.
“Di Malaysia ini ada orang Melayu, Cina, India. Semua ada, untuk agama masing-masing praktislah. Untuk agama dia boleh beriadah tetapi tidak boleh disebarkan, tetapi Islam adalah agama Persekutuan. Agama yang boleh dikembangkan, jangan usik.
“Tak perlu seorang Ahli Parlimen yang sebelum ini membangkitkan perkara ini. Orang Melayu akan marah jika agama diusik kerana semua itu telah terkandung dalam Perlembagan Persekutuan, nak kacau buat apa?
“Sudah lah, tidak perlu sebut sama di Parlimen atau di luar berkenaan hak-hak orang Melayu atau bumiputera kerana ini semua sudah tertulis oleh Perlembagaan Persekutuan kerana sudah dipersetujui oleh tiga bangsa,” katanya. – UMNO Online