Parlimen: Pembangkang Tidak Profesional, Hanya Pentingkan Survival Politik Parti Sahaja – Azhari

KUALA LUMPUR, 29 Feb – Pembangkang dilihat tidak profesional ketika hari pertama persidangan Parlimen sebaliknya mencipta populariti murahan, kata Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari.

Katanya ia susulan kekecohan dilakukan Ahli-ahli Parlimen pembangkang yang bertindak keluar daripada Dewan Rakyat sebagai tindakan protes selepas speaker berkeras membenarkan slot diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi menyampaikan ucapan junjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA)

“Pembangkang menunjukkan sikap tidak profesional apatah lagi di awal pembukaan sidang dewan.

“Mereka tidak menghormati apabila Perdana Menteri sedang mulakan ucapan terima kasih terhadap kepimpinan YDPA yang terdahulu dan juga memberi pujian terhadap segala komitmen, khidmat dan bakti YDPA sebelum ini dan juga terbaharu,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Menurut Azhari lagi, pembangkang sepatutnya memainkan peranan mereka sebagai semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan namun tindak tanduk yang dilakukan mereka dilihat semata untuk kepentingan survival parti mereka sahaja.

“Apa yang mereka bangkitkan satu isu yang tidak langsung relevan dengan masalah rakyat.

“Sepatutnya pembangkang menjadi suara semak dan imbang kepada keputusan atas dasar kerajaan tetapi di hari pembukaan menunjukkan mereka adalah sebuah parti dan pembangkang yang hanya tahu mencari populariti murahan.

“Saya beranggapan bahawa pembangkang ini langsung bukan hanya duduk di Parlimen untuk membawa suara rakyat tetapi mempertahankan survival mereka sendiri,” ujar beliau.

Terdahulu pada Selasa, pembangkang bertindak keluar dewan selepas mendakwa kerajaan tidak mengikut aturan urusan mesyuarat di Dewan Rakyat.

Perkara itu terdahulu tercetus apabila Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) bertindak bangun mempertikai dengan menyatakan mereka terkejut kerana penerangan menteri disenaraikan pada hari tersebut. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit