KEB 2024 Nafas Baharu Ekonomi Negara, Tingkatkan Penguasaan Bumiputera – Jazlan Yaakub
KUALA LUMPUR, 29 Feb – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yakin Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 dapat mempertingkatkan lagi penguasaan Bumiputera dalam sektor ekonomi.
Ini kerana katanya, peningkatan tenaga kerja dan kompeten golongan bumiputera tentunya akan merancakkan ekonomi dalam pembaharuan teknologi digital, automasi dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Saya yakin KEB 2024 ini tentunya akan mengambil kira pembaharuan teknologi digital, automasi dan keperluan TVET yang akan menjangkau masa 15 tahun ke hadapan sekaligus dapat mempertingkatkan penguasaan Bumiputera dalam sektor ekonomi.
“Tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang serius dalam agenda pemerkasaan ini apabila menggalas sendiri tanggungjawab sebagai Pengerusi Majlis Ekonomi Bumiputera, yang tentunya akan memberi impak yang sangat positif kepada semua pemain industri.
“Tidak ketinggalan juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sangat jelas menekankan pemerkasaan kembali agenda ekonomi Bumiputera di dalam kementerian, agensi, Govermnet Link Companies (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) untuk meningkatkan daya maju dan persaingan setara ekonomi dengan bangsa lain,” katanya.
Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Machang menjelaskan GLC seperti Felcra Berhad menyahut saranan kerajaan untuk menjadi sebagai antara pengeksport kelapa sawit yang terbesar di negara dalam masa lima tahun dari sekarang.
Pada masa yang sama beliau turut menyambut baik cadangan Penubuhan Perbadanan Tanah Bumiputera yang sudah pasti akan menaikkan peratusan dan pegangan hartanah negara.
“Saya sangat menyambut baik cadangan Penubuhan Perbadanan Tanah Bumiputera yang tentunya akan menaikkan peratusan bumiputera dalam pegangan hartanah negara hari ini.
“Saya amat yakin dan percaya bahawa Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 kali ini akan dapat mencapai kegemilangan buat ekonomi negara dengan kerjasama saling bahu membahu antara bangsa yang lain,” jelas beliau. – UMNO Online