KEB 2024 Hasil Cetusan PAU 2023, Tekad Pertahan Agenda Bumiputera Sedia Ada – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA, 29 Feb – Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 merupakan hasil cetusan UMNO pada Perhimpunan Agung pada Jun 2023 dengan membawa tekad untuk mempertahankan agenda bumiputera yang sedia ada.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau teruja kerana kongres ini turut mengingatkan kepada siri-siri KEB sebelum ini yang juga diadakan atas hasil usaha dan buah pemikiran UMNO.

“Mengawali bicara pagi ini, izinkan saya untuk merakamkan rasa keterujaan kerana dapat bersama-sama dalam peristiwa penting perjalanan perjuangan umat bumiputera.

“Lebih menyentuh nurani saya, kongres kali ini dianjurkan oleh kerajaan ekoran lontaran cadangan yang dibuat semasa Perhimpunan Agung
UMNO (PAU) pada Jun 2023 yang lalu.

“Ini mengingatkan kita kepada KEB yang pertama juga diadakan hasil daripada cetusan pemikiran UMNO pada ketika itu,” katanya ketika menyampaikan ucaptama sempena Kongres Ekonomi Bumiputera, di sini, hari ini.

Menurutnya, kongres ekonomi yang pernah diadakan sebelum ini telah menyaksikan negara dapat menikmati limpahan ekonomi melalui matlamat dan gagasan diusulkan.

“KEB 2024, adalah merupakan kesinambungan beberapa siri KEB yang telah dianjurkan sejak kali pertama pada 5 hingga 7 Jun 1965. Ia disusuli dengan KEB kedua pada 7 hingga 9 September 1968.

“Kedua-dua kongres ini telah menggariskan gagasan-gagasan besar haluan negara yang menyaksikan Malaysia seperti kita nikmati pada hari ini.

“Melalui kongres yang dianjurkan, kita bukan sahaja menyaksikan penubuhan agensi-agensi bermatlamatkan mengangkat agenda bumiputera, tetapi turut melahirkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang membawa kepada kestabilan politik dan pengagihan kek ekonomi negara yang lebih adil untuk semua kaum,” katanya.

Jelasnya, KEB yang dianjurkan pada tahun 2024 ini adalah untuk melaksanakan Transformasi Ekonomi Bumiputera (TEB) sebagai satu dasar untuk negara terus melangkah ke hadapan.

“Melalui kongres yang penah dianjurkan, selain DEB, negara juga dicorak melalui gagasan seperti Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera, Model Ekonomi Baharu dan Tindakan Pembangunan Bumputera 2030.

“Bagi KEB kali ini, ia bagaikan sireh pulang ke gagang. Manakan tidaknya, KEB pertama dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar. Kini ia dikendalikan oleh kementerian yang sama, cuma berbeza pada namanya iaitu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang turut dilaksanakan bersama oleh Kementerian Ekonomi.

“Jika KEB pertama dan kedua melahirkan Dasar Ekonomi Baru (DEB), saya suka mengetengahkan cadangan bagi KEB kali ini untuk kita melaksanakan Transformasi Ekonomi Bumiputera atau TEB sebagai satu dasar untuk mengorak langkah ke hadapan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menggariskan tiga matlamat yang perlu dicapai untuk menjaya TEB antaranya keadilan sosio-ekonomi, kemampanan negara bangsa; kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.

“Ketiga-tiga matlamat utama ini bagi memastikan, dasar dan pelaksanaan agenda ekonomi negara, bukan sahaja menjamin penglibatan dan hak bumiputera tetapi pada masa yang sama memastikan wujudnya kesalingan atau synergy dengan bukan bumiputera.

“Mahu atau tidak, rela atau tidak, kesalingan antara kaum amat penting dalam memugar aktiviti ekonomi negara. Bertitik tolak daripada hasrat DEB yang tidak mahu lagi aktiviti ekonomi dikaitkan dengan identiti kaum, hari ini tembok itu telah pun berjaya diruntuhkan.

“Kaum bumiputera tidak lagi sinonim dengan usaha tani, Cina bukan lagi mendominasi gelaran saudagar begitu juga dengan kaum India, tidak lagi berlegar di perladangan. Atas semangat ini, tiga matlamat utama yang digariskan, menuntut semua kaum bahu-membahu membangunkan negara. Menghormati agihan yang adil di samping menerima hakikat, usaha memartabatkan penyertaan bumiputera dalam semua sektor ekonomi adalah dalam kerangka Perlembagaan Negara,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa KEB ini turut dianjurkan dengan tekad untuk mempertahankan agenda bumiputera sedia ada.

“Tekad pertama, adalah untuk mempertahankan agenda Bumiputera sedia ada. Dasar dan inisiatif yang diperkenalkan termasuk soal pemilikan tanah, ekuiti perniagaan, pendidikan, peluang usaha, pekerjaan dan perbekalan, walaupun masih belum mencapai sasaran perlu terus diperkasakan.

“Contohnya pemilikan dan penguasaan dalam sektor korporat bumiputera yang hanya berada pada tahap 17.2 peratus. Sungguhpun sejak DEB, sasaran 30 peratus telah ditetapkan, kita tidak boleh menghentikan usaha ini. Malah semua pihak yang terlibat dengan agenda Bumiputera harus mengambil tanggungjawab bersama.

“Kerajaan punya tanggungjawab. Agensi pelaksana perlu terus melaksanakan mandat dan tidak melupakan asas penubuhan mereka,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.