Agenda Bumiputera: Tidak Perlu Apologetik, Hak Kaum Lain Tidak Dipinggir Dan Ditindas
KUALA LUMPUR, 29 Feb – Tidak perlu ‘apologetik’ dalam membicarakan agenda bumiputera kerana ianya tidak langsung meminggirkan apatah lagi menindas kaum lain, tegas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ujarnya, kaum bumiputera sentiasa menghormati kontrak sosial yang menjadi asas kepada keharmonian negara.
“Kita tidak perlu ‘apologetic’ untuk membicarakan agenda-agenda besar bumiputera kerana kita tidak pernah meminggirkan atau menindas hak kaum kaum lain.
“Malah santunnya bumiputera sentiasa menghormati kontrak sosial yang menjadi asas keharmonian negara,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau turut menyeru semua pihak untuk menjayakan Transformasi Ekonomi Baharu (TEB).
“Sehubungan itu, ayuh kita semua – kerajaan, agensi pelaksana, pemimpin, para cendekawan, profesional dan rakyat dengan tiga matlamat utama, enam tekad dan tiga ikhtiar pemerkasaan, sejujur dan sedayanya menjadikan TEB… tali yang menyatukan simpulan iltizam kita, jambatan untuk anak bangsa kita menyeberangi masa hadapan dengan penuh keyakinan dan pelantar kukuh untuk kita berdiri sama tinggi sebagai sebuah bangsa Malaysia,” katanya.
KEB2024 berlangsung hari ini dan ucapan penutup akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 2 Mac.
KEB2024 bertemakan Positif, Progresif dan Inovatif, anjuran Kementerian Ekonomi dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA). – UMNO Online