UMNO Sentiasa Libatkan Golongan Muda, Beri Ruang Dalam Perjuangan Politik Negara – Awang Aslee

KUALA PENYU, 27 Feb – UMNO sentiasa melibatkan golongan muda agar diberi ruang dalam meneruskan perjuangan lantas bersedia menjadi pemain penting untuk pembangunan, politik serta ekonomi di negara ini.

Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, generasi lama adalah golongan yang perlu sentiasa memberi kerjasama bagi membantu golongan muda agar tidak tersasar dalam usaha mencorakkan masa depan negara.

Dalam hal ini katanya, UMNO Bahagian Beaufort turut memberikan keutamaan mendekati golongan muda lantaran memikirkan golongan ini merupakan aset utama pembangunan negara pada masa akan datang.

“Sebahagian dari pendekatan kita sebelum ini mungkin sudah tidak relevan dengan keadaan semasa dan sudah tiba masanya kita ke hadapan dengan membuka seluas-luasnya peluang kepada generasi pelapis ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan penutupan pertandingan bola tampar campuran anjuran Wanita UMNO Bahagian Beaufort dengan Kerjasama Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Tenambak dekat sini, kelmarin.

Hadir sama Timbalan Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Jaludin Abdul Kadir; Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Beaufort, Norjanah Sabah; Setiausaha bahagian, Abdul Rahman Mohd Taib; Ketua Pergerakan Pemuda, Ak Mohd Yazri Ak Mohd Yahya dan Ketua Puteri, Munira Sarie.

Menurut Awang Aslee yang juga Pengerusi Penasihat Pusat Giat Mara Parlimen Beaufort, tidak kira sama ada dalam sektor kerajaan atau swasta, bidang ekonomi mahupun politik, peredaran masa harus disertai dengan idea termaju dan perubahan cara kerja dengan melibatkan golongan muda.

“Persada politik umpamanya, memerlukan golongan muda sebagai pencetus pembaharuan yang nyata. Kita mesti berhenti memandang golongan belia hanya sebagai pengganti kepada generasi lama.

“Mereka seharusnya menjadi pemain penting di persada politik negara di waktu muda mereka kerana itu golongan ini perlu diberikan pendedahan awal,” katanya.

Menurut Awang Aslee golongan muda perlu diterapkan dengan budaya politik sihat dan UMNO merupakan wadah politik yang sesuai menjadi plaffrom bagi golongan ini berkecimpung dalam bidang politik.

“Ini kerana bukan sahaja UMNO membuka ruang sepenuhnya kepada golongan muda menampilkan bakat serta ketokohan mereka, malah UMNO mempunyai struktur organisasi yang lengkap untuk mereka mengembangkan potensi serta bakat kepimpinan yang sedia ada.

“Janganlah pilih parti politik yang wadah perjuangannya terlalu sempit malah ada parti politik yang rasis dan anti Malaya yang tidak sesuai dengan konsep Kerajaan Perpaduan serta mengekang usaha untuk melestarikan konsep integerasi nasional,” jelasnya.

Sehubungan itu Awang Aslee berharap agar golongan belia mempersiapkan diri dengan ketahanan yang kukuh dan memiliki anjakan paradigma dengan pemupukan ciri-ciri yang mampu memperkuatkan daya tahan mereka.

“Jati diri yang kuat dan kukuh mampu membantu belia membina benteng pertahanan diri daripada pelbagai unsur yang tidak sihat. Ketahanan diri yang jitu juga diyakini mampu membuat belia bingkas bangkit melawan kesukaran atau kepayahan yang mereka alami sepanjang menempuhi alam remaja yang begitu mencabar,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.