Titah Agong Bawa Episod Baharu Buat Negara, Keselamatan Politik Terpelihara

KUALA LUMPUR, 27 Feb – Titah sulung Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 disifatkan sebagai permulaan episod baharu ketegasan Seri Paduka Baginda memayungi kepentingan rakyat dan memastikan keselamatan politik negara terus terpelihara.

Penganalisis keselamatan dan politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi di Universiti Teknologi MARA, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, berkata titah Sultan Ibrahim menunjukkan Seri Paduka Baginda mahukan kestabilan politik sebagai asas keselamatan negara.

Beliau berkata, isu berkaitan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong.

“Pada saya, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menjelaskan lagi apa yang telah dinyatakan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam titah itu.

“Apa yang dilakukan oleh Seri Paduka Baginda adalah untuk mengingatkan kembali perkara-perkara yang sudah ada namun masih belum sempurna,” katanya.

Shamsul Amri berkata meskipun kerajaan tidak berhenti melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat namun masih terdapat kelemahan di peringkat akar umbi khususnya dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan di peringkat sekolah vernakular, sekolah kebangsaan dan sekolah swasta.

Justeru, beliau mencadangkan agar kerajaan melakukan pemantauan lebih rapi bagi memastikan penggunaan Bahasa Melayu dapat diperluas untuk setiap subjek di semua sekolah kerana jika hanya satu yang menggunakan bahasa kebangsaan, ia tidak mencukupi untuk membolehkan pelajar bangsa lain menguasainya dengan baik. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit