LTAT Lebih Teliti Dan Cermat Melibatkan Penstrukturan Semula – Khaled Nordin
KUALA LUMPUR, 27 Feb – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata perubahan tampuk pengurusan tertinggi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akan mengubah Pelan Strategik 2023-2025 atau dikenali sebagai MAMPAN25 yang dilaksanakan ketika ini.
Menurutnya, sebahagian daripada pelan strategi berkenaan melibatkan pelan penstruktur semula, penjualan aset serta pegangan dalam syarikat strategik dan kementerian memberi perhatian untuk menguruskan perkara itu dengan teliti dan cermat.
“Secara umumnya kementerian tidak ada masalah dari segi soal pelaksanaan pelan strategik LTAT ini tetapi kita sedang memberi perhatian yang lebih teliti dan cermat apabila sebahagian dari pelan strategik ini melibatkan penstrukturan semula model peniagaan dan pegangan kepentingan termasuklah pembubaran beberapa syarikat serta penjualan aset-aset atau pegangan dalam pelbagai syarikat strategik.
“Jadi kita sedang memberi perhatian dengan cari jalan menang-menang untuk semua supaya dalam melaksanakan pelan strategik ini seboleh-bolehnya tidak ada syarikat yang terjejas dalam pegangan LTAT masih lagi berada pada paras menguasai sesuatu anak-anak syarikat itu.
“Maknanya pelaksanaan apa-apa pelan… kita tidak mahu melihat akhirnya soal kecairan LTAT itu kita dapat atasi. Tetapi soal dividen yang mampan sepanjang masa itu akan mendatangkan masalah kerana kita hilang kawalan atas beberapa syarikat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini, sebagai menjawab pertanyaan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang mahu penjelasan berkaitan status semasa pelaksanaan pelan strategik tersebut.
Pada masa yang sama Khaled yang juga Naib Presiden UMNO memberi jaminan dividen LTAT 2023 akan diumumkan setelah melalui beberapa proses kelulusan di peringkat lembaga pengarah dan kementerian.
Namun beliau tidak memperincikan tarikh dividen yang akan diumumkan kelak.
“Kita sekarang dalam proses untuk menentukan dividen LTAT dan ianya diperingkat Lembaga, apabila diluluskan dan akan dibawa kepada menteri untuk kelulusan dan apabila diluluskan akan dibawa kepada Kementerian Kewangan… ianya ada proses, bila Kementerian Kewangan luluskan maka baru akan diumumkan.
“Insya-Allah, untuk tahun lepas dan tahun ini memang ada dividen dan akan diumumkan, maka tunggulah masa yang akan diumumkan nanti,” katanya lagi. – UMNO Online