Datuk Md Rozai Meninggal Dunia, UMNO Rakam Takziah

ALOR SETAR, 27 Februari – Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah berdukacita atas pemergian Allahyarham Datuk Md Rozai Shafian yang telah meninggal dunia semalam pada usia 69 tahun.

Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid mewakili seluruh kepimpinan UMNO Negeri Kedah merakamkan ucapan salam takziah kepada isteri Allahyarham, Datin Paduka Khalijah Ghazali serta seluruh ahli keluarga.

“Sesungguhnya UMNO Negeri Kedah telah kehilangan seorang bekas pemimpin yang banyak meninggalkan jasa khususnya ketika Allahyarham berkhidmat selaku Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah dan juga sebagai Ketua UMNO Bahagian Pendang dan kemudiannya selaku Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

UMNO Negeri Kedah tambah Mahdzir, turut merakamkan penghargaan di atas segala jasa dan bakti Allahyarham sepanjang usianya bersama kepimpinan UMNO Negeri Kedah.

Allahyarham Datuk Md Rozai pernah berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) sebelum terjun ke dunia politik untuk berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Allahyarham Tan Sri Sanusi Junid dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang pada tahun 1999.

Allahyarham berkhidmat sebagai Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kedah pada tahun 1996 hingga 1999 untuk pertama kali dan kemudiannya sekali lagi dilantik menjawat tugas itu pada tahun 2016 hingga 2018.

Pada tahun 2013, Allahyarham dilantik sebagai Speaker DUN Kedah sehingga tahun 2018.

Allahyarham menerajui UMNO Pendang selaku Ketua Bahagian bermula pada tahun 2004 hingga 2018.

“Allahyarham merupakan sahabat lama saya yang dikenali lebih 30 tahun lalu. Saya mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan para solihin.” – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.