UMNO Beaufort Hargai Keprihatinan Kepimpinan Tertinggi UMNO, Aspirasi Khidmat Bakti Kepada Rakyat
BEAUFORT, 26 Feb – Keprihatinan kepimpinan tertinggi UMNO terhadap rakyat khususnya mereka yang ditimpa musibah sentiasa dihargai malah menjadi bukti bahawa parti tersebut sentiasa mendukung khidmat bakti berterusan.
Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat menzahirkan penghargaan dan rasa terharu dengan usaha yang dilakukan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang memberikan sumbangan kepada mangsa-mangsa kebakaran yang berlaku baru-baru ini, di sini.
Beliau yang turun padang bertemu dan menyantuni mangsa kebakaran terbabit telah menyampaikan sumbangan berbentuk wang ringgit daripada Wan Rosdy untuk meringankan beban yang dihadapi.
“Sesungguhnya keprihatinan pemimpin tertinggi UMNO amatlah ditagih oleh rakyat dan penyokong parti di akar umbi terutama sekali bagi mereka yang ditimpa musibah kebakaran rumah.
“Bagi kepimpinan UMNO Bahagian Beaufort dan sembilan keluarga penduduk di Kampung Bakalau yang berdepan kebakaran rumah minggu lalu, kami merakamkan jutaan terima kasih atas keprihatinan yang diberi.
“Sesungguhnya bantuan ini amat besar maknanya malah kami amat terharu dengan keprihatinan, walaupun dari jauh namun tetap mengambil berat tentang musibah yang menimpa rakyat,” katanya kepada UMNO Online.
Terdahulu, pada Rabu lalu seramai sembilan keluarga di Kampung Bakalau di sini telah kehilangan tempat tinggal ekoran kebakaran yang memusnahkan sama sekali kediaman mereka.
Dalam kunjungan terbabit, Awang Aslee bersama timbalannya, Ustaz Jaludin Kadir; naib ketuanya, Mohd Rashid Mathon; Ketua Wanita UMNO Beaufort, Norsiah; ketua pemudanya, Mohd Narul dan ketua puteri bahagian, Munira Sarrie bersama kepimpinan UMNO bahagian telah bersama-sama menyantuni mangsa di samping memberikan sokongan moral kepada mereka.
Kata Awang Aslee, UMNO Bahagian Beaufort sentiasa mengambil pendekatan terus kepada rakyat iaitu bersama-sama mendepani apa-apa juga cabaran dan saling memberikan sokongan berdepan dugaan.
“Kita memahami pelbagai kesulitan yang rakyat hadapi malah musibah yang menimpa adalah sesuatu yang amat besar dan kita mahukan semangat kebersamaan sentiasa diterapkan kerana dalam UMNO kita adalah ibarat satu keluarga besar,” katanya lagi. – UMNO Online