Kerajaan Negeri Sabah Digesa Buat Persediaan Elak Krisis Air, Tolak Impak Negatif Kepada Rakyat – Jeffery Nor
KOTA KINABALU, 26 Feb – Kerajaan Negeri Sabah perlu membuat persediaan awal bagi menangani kriris bekalan air ekoran fenomena cuaca panas dan kekurangan hujan yang mula melanda negeri ini sejak awal Januari lepas.
Pengerusi Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffery Nor Mohamed berkata persediaan awal ini penting bagi memastikan belakan air bersih mencukupi dan tidak membebankan rakyat di negeri ini yang tentunya akan terkesan jika ia berlaku.
Beliau berkata walaupun Sabah pernah beberapa kali mengalami fenomena terbabit namun persiapan awal meliputi semua aspek adalah perlu bagi mengelakkan kepanikan melampau di kalangan rakyat apatah lagi keadaan cuaca panas dan kekurangan hujan yang berterusan tentunya akan menjejaskan bekalan air bersih.
“Justeru, persediaan kerajaan adalah memantau semua aras air sungai dan empangan, mengaktifkan pelan tindak balas kecemasan, meneroka sumber air alternatif, menggalakkan orang ramai dan industri menjimatkan penggunaan air, serta melakukan penghasilan awan dan menyediakan sokongan logistik jika keadaan memerlukan,” katanya dalam hantaran di media sosialnya
Jeffery yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan, menzahirkan kebimbangan ini, ekoran kekerapan terputusnya bekalan air bersih di beberapa buah daerah khususnya di sekitar Tuaran, Kota Kinabalu dan beberapa daerah lain walaupun kemarau belum berlaku.
“Walaupun kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkenaan berhubung dengan bekalan air di negeri ini dijangka akan stabil dengan beberapa inisiatif yang sedangkan dijalankan seperti penyiapan loji bekalan air Telibing II yang dijangka beropresi sepenuhnya Feb tahun ini, namun masalah terputus bekalan air masih berlaku di Tuaran, Kota Kinabalu dan termasuk di lain-lain derah di negeri ini,” katanya.
Kata Jeffery, lebih malang lagi terdapat beberapa aduan sebagaimana tular di media sosial isu pengguna menerima bekalan air yang tahap kerbersihannya diragui ekoran warna dan berbau yang bukan sahaja berlaku di daerah Kota Kinabalu malah juga di lain-lain daerah.
“Kita berharap pihak berkenaan dapat memastikan setiap air yang dibekalkan kepada pengguna melalui pemantauan dari segi kualiti air sebelum disalurkan kepada pengguna.”
Jeffrey juga berkata persediaan perlu dibuat dari sudut mental dan fizikal bagi menghadapi sebarang kemungkinan seperti krisis air yang akan menyebabkan langkah seperti catuan di sesetengah kawasan, sekali gus memberi impak terhadap aktiviti manusia.
Dalam pada itu Jeffery juga menasihatkan orang ramai agar mengelak daripada melakukan sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan kebakaran ekoran cuaca yang panas iaitu dengan menyimpan bahan-bahan mudah terbakar dengan baik manakala aktiviti pembakaran terbuka seperti membakar sampah, sisa pertanian dan sisa pembinaan perlu dielakkan.
Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Nor baru-baru ini dalam kenyataan medianya berkata, Kerajaan negeri akan menangani masalah air bagi memastikan penduduk di setiap kawasan mendapar bekalan air mencukupi terutamanya ketika menghadapi fenomena El Nino atau cuasa panas dan kemarau ketika ini.
Hajiji, berkata beliau turut memberikan komitmen untuk menyelesaikan isu bekalan air yang sering membelenggu penduduk negeri pada tahun ini, termasuk menaik taraf dan menambah baik loji rawatan di semua daerah.
Menurut beliau Kerajaan negeri juga juga mendapat bantuan daripada kerajaan pusat RM300 juta yang akan gunakannya untuk menyelesaikan masalah air di Sabah).
“ Rakyat, jangan bimbang. kita (Kerajaan ) akan berusaha sedaya upaya menanganinya” katanya.
Oleh: Jaafar Abd Wahid