Ahmad Zahid Junjung Titah Agong, Sedia Berikan Komitmen Pada Sidang Parlimen

KUALA LUMPUR, 26 Feb – Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 hari ini telah bermula dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang hadir ke Parlimen telah menyatakan kesediaan bagi memberikan komitmen pada sidang kali ini.

“Pagi ini saya telah hadir ke Parlimen dan mendengar Titah Diraja oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 yang bermula hari ini.

“Insya-Allah, saya bersama-sama YAB Perdana Menteri dan seluruh barisan Ahli Parlimen Kerajaan telah bersedia sepenuhnya untuk sesi perbahasan Titah Diraja bermula esok dan akan memberikan komitmen yang tinggi pada sidang Parlimen kali ini,” katanya yang juga Presiden UMNO merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong mengingatkan bahawa Parlimen adalah tempat para penggubal undang-undang berhimpun untuk membuat peraturan dan Ahli Parlimen sebagai para penggubalnya.

“Oleh itu, adalah tidak masuk akal jika penggubal undang-undang itu sendiri gagal untuk mematuhi peraturan yang dibuat.

“Saya harap semua Ahli-ahli Dewan akan tunjukkan contoh teladan yang baik apabila berada di Dewan yang mulia ini dengan mematuhi peraturan sepanjang tempoh persidangan,” titah baginda.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung 19 hari dengan tumpuan utama adalah perbahasan Titah Diraja oleh Ahli-ahli Parlimen dari 27 Feb hingga 7 Mac diikuti jawapan daripada kementerian berkaitan selama empat hari bermula 11 Mac. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.