Manfaatkan Media Terkini, Fokus Kembalikan Kekuatan UMNO – Dr Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 25 Feb – Teknologi media sosial terkini perlu dimanfaatkan sebaiknya dalam usaha untuk mengembalikan kekuatan UMNO.

Demikian tegas Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki kepada ketua-ketua Penerangan UMNO Bahagian yang berhimpun menerusi Kursus Pengukuhan Komunikasi selama dua hari bermula semalam.

Ujar Dr Asyraf, dalam konteks hari ini UMNO berhadapan dengan suasana baharu maka parti tidak boleh masih menggunakan pendekatan lama misalnya memfokuskan takarub sahaja kerana maklumat diperoleh rakyat hari ini semudah di hujung jari.

Kerana itu katanya, jentera parti perlu memanfaatkan digitalisasi terkini dan dapat menjangka masa hadapan.

“Dalam dunia era baru ini, kita perlu keterhadapan dalam menyampaikan maklumat-maklumat penting yang sahih serta menggunakan medium media sosial secara proaktif bagi menerangkan info-info positif yang bermanfaat buat rakyat,” katanya.

Dr Asyraf berkata demikian dalam ucapan mewakili Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merasmikan Kursus Pengukuhan Komunikasi Penerangan UMNO Malaysia, di sini, semalam.

Dalam masa yang sama, Dr Asyraf berharap agar anggota parti terus istiqamah meneruskan perjuangan.

“Semoga dengan penganjuran kursus ini dapat mengukuhkan lagi gerak kerja Ketua Penerangan UMNO Bahagian-Bahagian yang memainkan peranan penting dalam menyampaikan naratif dan maklumat yang betul kepada ahli-ahli parti dan juga rakyat.

“Semoga kita terus istiqamah dalam memartabatkan wadah perjuangan parti keramat UMNO ini demi agama, bangsa dan tanah air tercinta,” katanya lagi.

Kursus Pengukuhan Komunikasi UMNO dilaksana melibatkan ketua-ketua penerangan UMNO negeri dan bahagian-bahagian dengan pengisian ke arah gerak kerja berinformasi yang proaktif termasuk aplikasi digital terkini diterapkan.

Turut bersama dalam kursus ini ialah Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.