Penerangan UMNO Buat Perubahan Aplikasi Komunikasi Berkesan – Azalina

KUALA LUMPUR, 24 Feb – UMNO perlu membuat perubahan terutamanya dalam memberikan penerangan kepada ahli dan anggota akar umbi dengan mengaplikasi komunikasi yang berkesan.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, UMNO perlu berbeza dalam langkah komunikasi dengan mengaplikasi pelbagai medium termasuklah media sosial yang perlu dikuasai oleh ketua-ketua penerangan UMNO seluruh negara.

Menurutnya, komunikasi bentuk digital di kalangan ahli dan akar umbi seharusnya diberikan penekanan bagi mendepani arus permodenan digitalisasi.

“Dalam masa tiga bulan ini, ada beberapa pembentukan baharu yang telah kita jalankan. Kita nak menekankan komunikasi dalam bentuk digital dan menggunakannya seluas yang boleh,” katanya ketika ucapan pembukaan sempena Kursus Pengukuhan Komunikasi Penerangan UMNO Malaysia, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan bahawa latihan kepada ketua-ketua penerangan setiap peringkat digerakkan sebaiknya agar mereka memahami aspek komunikasi sebenar.

“Saya berpegang kepada falsafah bahawa Penerangan UMNO Malaysia adalah jentera di bawah. Kita juga ada ketua penerangan di semua peringkat termasuk akar umbi di cawangan. Kita mesti gerakkan latihan-latihan supaya mereka mempunyai kefahaman dalam aspek komunikasi.”

Di samping itu, Azalina turut memaklumkan bahawa satu segmen wawancara telah diwujudkan untuk membincangkan isu-isu terkini iaitu #HitamPutihKelabu.

“Selain ‘master class’, kita juga telah wujudkan segmen #HitamPutihKelabu untuk membincangkan pelbagai isu. Sebelum ini kita telah bercakap mengenai isu pencen dan juga Kes Nik Elin.

“Ini semua dilakukan untuk memastikan bahawa segala maklumat yang sahih dapat sampai kepada para jentera penerangan untuk penjelasan tuntas,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan para jentera penerangan UMNO untuk bersedia dengan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 yang bakal tiba dalam tempoh masa beberapa tahun lagi.

“Kita kena ‘address’ isu-isu menuju PRU ke-16. Kita juga perlu bersedia kerana macam-macam perkara boleh berlaku.

Turut hadir ke program tersebut adalah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Kursus Pengukuhan Komunikasi Penerangan UMNO Malaysia diadakan selama dua hari bermula pada Sabtu melibatkan Ketua-Ketua Penerangan UMNO Negeri-Negeri dan Bahagian. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.