Ahmad Maslan Saran Skim Pencen KWSP Untuk Pekerja Jadi Dasar Kerajaan
KUALA LUMPUR, 22 Feb – Kerajaan disaran memperkenalkan skim pencen kepada semua pekerja di negara ini menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan ini merupakan antara langkah terbaik dalam usaha memastikan masa depan pekerja terus terjamin.
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berpandangan dengan langkah berkenaan ianya diyakini dapat membantu para pekerja sekaligus memberi manfaat yang cukup tinggi bagi memperoleh pendapatan bulanan apabila bersara kelak.
“Saya ingin buat satu cadangan di sini… pencen kepada semua pekerja di Malaysia. Ini cadangan yang agak pelik tetapi boleh dilakukan. Bagi mereka yang memiliki KWSP….15.5 juta rakyat ada KWSP, lapan juta daripadanya adalah mereka yang aktif dan daripada lapan juta itu kita boleh aturkan pencen untuk golongan berkenaan.
“Mereka boleh membuat pilihan apabila mereka berumur 55 atau 60 tahun iaitu hannya mengeluarkan sebahagian daripada KWSP… katalah ambil ¼ dan ¾ lagi dibahagikan tiap-tiap bulan. Yang itulah kita boleh katakan mungkin untuk semua rakyat tidak kiralah penjawat awam baharu yang ada KWSP, penjawat awam lama terus berpencen atau pekerja sektor swasta boleh digunakan skim pencen ini oleh KWSP,” katanya.
Katanya lagi baki ¾ yang dibahagikan tiap-tiap bulan untuk mereka yang bersara kelak masih lagi boleh menerima dividen KWSP yang mana purata bonus tahunannya antara lima hingga enam peratus setahun.
“Namun jika mereka keluarkan sekaligus selepas bersara, mereka tidak akan mendapat dividen berkenaan dan ini antara cadangan yang sebenarnya KWSP belum diumum serta belum dilancarkan lagi. Walaupun dah ada tetapi belum menjadi satu dasar kerajaan dan saya mencadangkan ini menjadi dasar kerajaan,” tambahnya.
Beliau berkata demikian pada program #HitamPutihKelabu, bertajuk ‘Pencen, Bom Jangka Kewangan Negara?’ anjuran Penerangan UMNO Malaysia yang disiarkan menerusi Facebook dan YouTube UMNO Online, malam tadi. Selain Ahmad Maslan, turut menjadi ahli panel Prof Datuk Dr Norma Mansor dan program tersebut dihoskan Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Pada program itu juga, Ahmad Maslan turut berkongsi tentang pencen kakitangan awam yang bertambah setiap tahun dan itulah antara yang menjadi pertimbangan kerajaan hari ini walaupun ianya keputusan yang tidak popular.
“900 ribu pesara kerajaan pada ketika ini dengan bebanan bayaran RM35 bilion setahun dan 32 ribu pesara kerajaan tiap-tiap tahun dan ada 1.61 juta penjawat awam. Jadi perkara ini adalah perkara yang tidak popular dan saya tidak mahu mengulas ianya secara lebih lanjut tetapi itu adalah fakta.
“RM 35 bilion bayaran kepada 900 ribu pesara termasuk pesara polis dan tentera dan daripada 1.61 juta penjawat awam, 32,000 penjawat awam akan bersara setiap tahun dan ada pandangan mengatakan pada 2040 bebanan tanggungan untuk persaraan itu sehingga RM120 bilion setahun. Masalahnya adakah duit kerajaan ada sebanyak itu. Boleh ada tetapi kena naikkan pelbagai cukai dan sebagainya lagi termasuklah cukai baru,” ujarnya. – UMNO Online