33 Tahun UMNO Di Sabah, Ahli Parti Diajak Bermuhasabah Tanam Iltizam Teruskan Perjuangan
SANDAKAN, 22 Feb – Setiap ahli UMNO termasuk kepimpinan parti perlu bermuhasabah dan mendalami hati masing-masing bagi membawa hala tuju, iltizam serta azam baharu perjuangan khususnya di Sabah setelah melalui pelbagai episod suka dan duka sepanjang 33 tahun usianya di negeri itu.
Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, pemimpin dan ahli parti perlu mengubah cara dan langkah politik seiring dengan arus perdana biarpun terpaksa menongkah arus .
“Cara, corak dan langkah politik sudah semestinya jauh berbeza dari sebelum ini. Landskap politik yang baharu menuntut kita berubah seiring dengan arus perdana walaupun terpaksa menongkah arus.
“Kita berada di persimpangan penuh ranjau dan berduri. Inti pati perjuangan masih sama tetapi perlu bersifat inklusif, bukan rasis, berintegriti, isu atau dasar berorentasikan rakyat dan inilah yang sebenarnya adalah salah satu cara untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti UMNO,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.
Beliau yang juga Ketua UMNO bahagian Libaran berkata demikian ketika diminta mengulas kedudukan UMNO di Sabah selepas genap 33 tahun parti itu bertapak di Sabah, semalam.
Sebelum itu Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran turut menerima kunjungan hormat Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Gum-Gum dan juga kunjungan dari pemimpin-pemimpin masyarakat di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Libaran di sini.
Suhaimi berkata, sepanjang tempoh tersebut banyak pengalaman suka dan duka yang dilalui oleh UMNO Sabah yang seharusnya mematangkan kepimpinan serta anggota parti di semua peringkat untuk terus melangkah ke hadapan.
“Kita berada dalam situasi menongkah arus untuk mendepani cabaran politik baharu apabila UMNO di Sabah diletakkan sebagai pembangkang di peringkat negeri tapi di peringkat pusat kita mendukung Kerajaan Perpaduan.
“Kita tiada pilihan lain, kita hanya ada satu jalan (do or die way), jalan sehala yang tiada pusingan ‘U’ untuk meneruskan perjuangan membela rakyat,” katanya.
Menurut Suhaimi lagi, dalam setiap diri dan jiwa ahli parti perlu bermuhasabah, mendalami prinsip perjuangan bagi membawa hala tuju, iltizam dan azam baharu perjuangan parti keramat yang sama kita sayangi.
Sehubungan itu, Suhaimi turut mengingatkan ahli-ahli UMNO di negeri ini agar menjadikan persidangan tahunan parti yang akan mula bermesyuarat di peringkat cawangan pada 22 April hingga 2 Jun depan, mesyuarat bahagian dari 21 Jun hingga 29 Julai akan datang sebagai medium penyatuan untuk membangkitkan semangat bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.
“Kita jayakan mesyuarat cawangan-cawangan dan bahagian-bahagian dengan semangat baharu, merapatkan saf kemimpinan yang ada dan yang paling penting mengatur strategi dan persediaan parti untuk berhadapan dengan PRN akan datang, kita perlu bekerja keras kerana tidak mustahil kejayaan akan jadi milik UMNO,” tegas Suhaimi lagi. – UMNO Online
Oleh: Jaafar Abd Wahid