Unjuran Pertumbuhan Perdagangan Dan KDNK Lebih Baik Bagi Malaysia Dalam Tahun 2024

KELUARAN Dalam Negara Kasar (KDNK) merupakan pengukur kepada kesihatan ekonomi negara. Selain penggunaan oleh Kerajaan dan rakyat (public and private consumption) dan pelaburan, KDNK juga diwakili oleh perdagangan, yang merangkumi kedua-dua eksport dan import. Dari segi perdagangan, secara amnya, eksport (barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan dalam negara dan dijual ke luar negara) akan meningkatkan KDNK, manakala import – barangan dan perkhidmatan yang dibawa masuk ke dalam Malaysia – akan mengurangkan KDNK.

2. Tahun 2023 merupakan satu tahun yang penuh cabaran. Walaupun pada Disember 2023 Malaysia mencatat lebihan dagangan (trade surplus) selama 44 bulan berturut-turut sejak Mei 2020, dengan jumlah dagangan melepasi RM2 trilion untuk tahun ketiga berturut-turut, cabaran ekonomi seperti inflasi, pergolakan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan telah memberi impak kepada hasil perdagangan Malaysia dan juga pertumbuhan KDNKnya.

3. Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) juga telah mengurangkan unjuran pertumbuhan untuk perdagangan global kepada 0.8% pada 2023, berbanding 2.7% pada tahun 2022.

4. Sebagai sebuah negara perdagangan terbuka (open trading nation) di mana nisbah perdagangan kita adalah 128% kepada KDNK, tentu sekali Malaysia juga terkesan apabila berlaku penguncupan ekonomi atau KDNK rakan-rakan perdagangan utama kita.

5. Pelbagai faktor lain yang mempengaruhi prestasi perdagangan Malaysia termasuk rakan-rakan dagang utama Malaysia yang juga mengalami penguncupan perdagangan dan penurunan dalam import global masing-masing:

a. Perdagangan keseluruhan China jatuh sebanyak 5% pada 2023 berbanding tahun sebelumnya. Kelemahan ekonomi China, dengan penurunan eksport sebanyak 4.6% dan import sebanyak 5.5% telah memberi impak kepada Malaysia, kerana China adalah rakan dagangan terbesar Malaysia, yang menyumbang 17.1% kepada jumlah perdagangan negara pada tahun 2023.

b. Jumlah nilai perdagangan antarabangsa Taiwan menguncup 13.6% kepada US$784.35 bilion pada tahun 2023, berbanding $907.5 bilion pada 2022.

c. Perdagangan barangan negara G20 juga menguncup, di mana eksport turun sebanyak 3.1% dan import sebanyak 2%.

d. UNCTAD pula meramalkan penguncupan perdagangan global sebanyak 5% bagi tahun 2023, atau kira-kira USD1.5 trilion kurang daripada pada tahun 2022.

e. Di rantau ASEAN, bagi tahun 2023, eksport Thailand menurun sebanyak 1.0%, lebihan dagangan Indonesia berkurang sebanyak 32.4%, dan Singapura mengalami penurunan perdagangan barangan sebanyak 11.7%.

f. Pengukuhan Dolar AS sepanjang tahun 2023 berbanding pelbagai mata wang, termasuk Ringgit, telah memberi kesan terhadap prestasi perdagangan, kerana walaupun nilai eksport lebih kompetitif, namun kos import bagi bahan mentah juga meningkat.

6. Kesemua faktor-faktor di atas telah memberi impak kepada eksport utama Malaysia, seperti elektronik (E&E), minyak sawit dan komoditi yang lain, dan mempengaruhi baki perdagangan keseluruhan (overall trade balance) dan KDNK.

PROSPEK TAHUN 2024

7. Apa prospek untuk tahun 2024? WTO mengunjurkan pertumbuhan perdagangan global di tahap 3.3% pada 2024, dan ini bakal meningkatkan jumlah perdagangan Malaysia, dirangsang oleh pertumbuhan dalam sektor pembuatan dan elektronik dan elektrik (E&E – dijangka berkembang sebanyak 13.1%) dan peningkatan permintaan daripada rakan dagangan utama Malaysia.

8. Perdagangan Malaysia diunjurkan tumbuh 5% tahun ini, dengan eksport dan import dijangka meningkat masing-masing sebanyak 5.1% dan 4.9%. Malah, selepas mencatatkan penguncupan tahun ke tahun (y-o-y) bagi 10 bulan berturut-turut, angka perdagangan Malaysia bagi bulan Januari 2024 telahpun menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 13.3% kepada RM234.73 bilion.

9. Selain itu, landskap pelaburan negara menunjukkan prospek yang baik dengan jumlah pelaburan yang diluluskan mencapai RM225.0 bilion dalam sembilan bulan pertama, meningkat 6.6% berbanding tahun sebelumnya. Pelaburan Langsung Asing (FDI) menyumbang 55.9%, dan Pelaburan Langsung Domestik (DDI) pada 44.1%, dengan DDI mengalami peningkatan tahun ke tahun yang signifikan sebanyak 45.2%. Pelaburan ini bakal menyumbang kepada KDNK yang lebih kukuh apabila direalisasikan kelak.

10. Unjuran pertumbuhan perdagangan bagi tahun 2024 serta usaha berterusan MITI untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi, adalah sebahagian usaha Kerajaan dalam melaksanakan Kerangka Ekonomi MADANI yang bertujuan menaikkan siling (seperti daya saing eksport, transformasi industri, penciptaan pekerjaan, pemulihan sektor pelancongan). Apabila digandingkan dengan kenaikan lantai ekonomi (seperti peningkatan gaji, peningkatan penggunaan domestik, penambahbaikan penjagaan kesihatan, perumahan awam serta keterjaminan makanan), kesemua ini bakal menyumbang kepada unjuran pertumbuhan KDNK sebanyak 4.0% hingga 5.0% pada 2024, insya-Allah.

PENYELESAIAN JANGKA PANJANG

11. Struktur ekonomi/KDNK Malaysia telah berubah dengan ketara, kerana kita semakin bergantung kepada penggunaan domestik dan perbelanjaan kerajaan. Sumbangan eksport bersih kepada KDNK telah menurun daripada 16% pada 2011 kepada 4.7% pada 2023. Jadi, salah satu solusi adalah untuk meningkatkan semula sumbangan perdagangan dan pelaburan kepada KDNK bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

12. Tapi, isu struktur ekonomi ini tentunya tak boleh diselesaikan dalam sekelip mata. Selain bersiap siaga untuk menghadapi dinamik perdagangan dan situasi geopolitik global, MITI juga akan mengutamakan DDI dan FDI yang berkualiti tinggi, serta kemampanan dan transformasi digital untuk meningkatkan keberdayaan perdagangan dan ketahanan ekonomi Malaysia.

13. Antara inisiatif yang sedang dilaksanakan bagi menangani isu-isu struktur ekonomi dan meningkatkan daya saing Malaysia termasuk:

a. Pelaksanaan strategi Pelan Induk Perindustrian Baharu / New Industrial Master Plan 2030 (NIMP 2030) yang bakal meningkatkan kepelbagaian ekonomi, daya saing dan juga nilai eksport Malaysia ke pasaran antarabangsa.

b. Memanfaatkani pelbagai perjanjian perdagangan sedia ada dan baharu, untuk memastikan eksport sentiasa meningkat dan lebih tinggi berbanding import.

c. Komitmen kepada kelestarian dan Kerangka ESG Industri (i-ESG) yang dilancarkan oleh MITI pada tahun 2023 bakal memastikan industri, terutamanya PKS mampu memenuhi permintaan kelestarian dan memastikan akses berterusan kepada pelbagai pasaran seperti EU.

d. Mempercepatkan transformasi digital melalui pelaburan dalam infrastruktur digital seperti 5G untuk menambahnilai proses pembuatan dan hasil barangan serta perkhidmatan yang bakal dieksport dari Malaysia.

e. Meningkatkan kerjasama serantau ASEAN bagi menggalakkan perdagangan antara negara-negara ASEAN (intra ASEAN trade). Ada banyak potensi bagi meningkatkan nisbah perdagangan intra-ASEAN yang hanya di tahap 22.3% pada 2023, berbanding 21.3% pada 2021.

14. Insya-Allah, berkat kerjasama dari semua pihak, kesemua usaha ini bakal berhasil. – UMNO ONLINE

Oleh:

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri
Merangkap Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit