Semoga UMNO Sabah Istiqamah, Bangkit Demi Perjuangan Agama, Bangsa Dan Tanah Air – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 21 Feb – Bersempena ulang tahun UMNO Sabah ke-33 hari ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan penghargaan kepada kepimpinan dan akar umbi UMNO Sabah yang kekal utuh membawa perjuangan parti.

Kata beliau, tekad dibawa mereka itu adalah penting dalam mengangkat peranan parti ini yang sinonim dengan perjuangan demi agama, bangsa dan negara.

“Saya ingin ucapkan selamat ulang tahun ke-33 kepada seluruh ahli-ahli UMNO di Negeri Sabah.

“Yakin dengan kebersamaan kepimpinan UMNO Sabah hari ini, kita dapat membina satu kekuatan yang jitu dan meneruskan kelangsungan perjuangan parti.

“Semoga UMNO Sabah terus istiqamah, kekal bangkit menggembleng tenaga dan bekerjasama seutuhnya bagi memastikan wadah parti terus diangkat demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dalam pada itu beliau juga turut sama mendoakan agar kepimpinan dan akar umbi parti untuk bersetia dan istiqomah dalam mengangkat obor kebangkitan parti keramat ini subur di bumi Sabah.

“Teruskan perjuangan ini buat sahabat-sahabat di negeri Sabah. Semoga Allah SWT memberi keberkatan dan memudahkan urusan kita semua. Insya-Allah,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit