#HitamPutihKelabu: Akta Keselamatan Siber Penting, Panduan Pembangunan Teknologi AI
KUALA LUMPUR, 20 Feb – Pengurus Besar Lebuhraya Pantai Barat, Syed Mohammed Idid berkata undang-undang keselamatan siber sangat penting sebagai panduan pembangunan teknologi artificial intelligence (AI) secara bertanggungjawab dan dipercayai.
Kata beliau, ia juga sekali gus menangani isu daripada tercetus terutama membabitkan ketenteraman awam.
“Akta keselamatan siber ini penting macam semua akta yang kita ada, fungsinya satu iaitu keselamatan untuk keharmonian, ketenteraman dan keadilan.
“Siber ini bahaya kerana kalau kita dengar cybertrooper ini sudah rasa takut inikan pula keselamatan siber.
“Ia berlaku di mana-mana sebab kita tidak nampak, dengan adanya polisi dalam akta keselamatan siber ini membenarkan kerajaan dan penguatkuasaan untuk menjaga rakyat dari segi hak, harta benda dan keselamatan manusia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Hitam Putih Kelabu: Teknologi AI Rampas Peluang Pekerjaan Rakyat di Facebook UMNO Online yang disiarkan bersama panel Naib Presiden Malaysian Bumiputera Training Providers (MBTA), Azman Taher, pada Isnin.
Sementara Azman turut berkata keselamatan siber juga penting dalam ekonomi negara khususnya membabitkan pelabur asing yang akan melabur.
Jelas beliau, pelabur asing sangat menitik beratkan elemen keselamatan siber yang menjamin sekuriti syarikat ketika menjalankan perniagaan di sesebuah negara.
“Kalau hendak bawa masuk pelabur asing, mereka akan datang dan akan melihat dahulu sejauh mana keselamatan siber sesebuah negara itu.
“Jika tidak kuat mereka tidak akan berminat untuk masuk kerana risiko untuk mereka,” ujar beliau. – UMNO Online