Pembangkang Perlu Tolak Gaya Politik Tidak Sihat, Hayati Prinsip Demokrasi Berparlimen – Penganalisis

KUALA LUMPUR, 20 Feb – Pihak lawan ataupun pembangkang perlulah menolak amalan gaya politik tidak sihat dan menghayati prinsip demokrasi berparlimen, kata Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia (O2), Anis Anwar Suhaimi.

Tegasnya, semua pihak perlulah memainkan peranan sebaiknya untuk memastikan negara mencapai kemajuan dan berada atas landasan yang tepat.

“Parti-parti pembangkang perlu kembali menghayati prinsip demokrasi berparlimen negara. Kemajuan sesebuah negara bukan semata-mata bergantung kepada kecekapan urus tadbir kerajaan, tetapi juga kredibiliti pembangkang yang konstruktif.

“Peranan yang perlu dimainkan adalah penting demi memastikan kerajaan terus berada pada landasan yang tepat hasil daripada mekanisme semak dan imbang yang cekap serta berkesan,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, pihak pembangkang mestilah menunjukkan kewibawaan dengan menjadi penyemak dan imbang kerajaan sedia ada.

“Pembangkang perlu menampilkan sebuah kewibawaan agar mereka layak digelar sebagai ‘government in waiting’ berbanding bergelar ‘pembangkang’ ataupun ‘pintu belakang’.

“Ini boleh dilihat seperti UMNO apabila berjaya memainkan peranan sebagai pembangkang yang konstruktif dengan melakukan semak dan imbang terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) 1.0.

“Persoalan-persoalan dasar sentiasa dibangkit dan dipantau. Politik yang tidak sihat, politik fitnah dan berita tidak benar juga bukan modal yang digunakan ketika itu,” katanya lagi.

Memandangkan tiada satu parti pun yang berjaya untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Yang di-Pertuan Agong pada ketika itu menitahkan agar Kerajaan Perpaduan dibentuk.

Perikatan Nasional (PN) mengambil keputusan untuk kekal sebagai pembangkang manakala UMNO/Barisan Nasional (BN) akur akan saranan Tuanku.

Keputusan PRU ke-15 menyaksikan BN memperoleh 30 kerusi, PH (82), PN (73), GPS (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi.

BN pada mulanya membuat keputusan untuk menjadi pembangkang, kemudian berkecuali dan akhirnya menyerahkan 30 kerusi untuk pertimbangan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menentukannya seperti mana turut diputuskan oleh GPS dan GRS. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.