UMNO Perlu Jadi ‘Hero’, Berani Bersuara Jangan Pekakkan Telinga – Ahmad Maslan
KUALA LUMPUR, 16 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menggesa semua ahli parti di setiap peringkat agar berani menyuarakan pendapat dan menolak apa-apa kenyataan yang berbaur perkauman.
Tegasnya, kenyataan demi kenyataan yang mengguris sensitiviti penduduk Melayu Bumiputera amat berbahaya terutamanya yang melibatkan dalam perlembagaan negara.
“UMNO perlu terus menjadi ‘hero’ dan barisan hadapan dalam isu-isu yang melibatkan Islam, Melayu Bumiputera, Bahasa Melayu, kedudukan istimewa Raja-raja Melayu dan ini adalah perkara penting dalam perlembagaan.
“Pemimpin-pemimpin UMNO masih ramai lagi yang berani bersuara, jangan memekakkan telinga daripada mendengar dari isu-isu yang ada di sekitar sebaliknya terus bersuara kerana kita tidak mahu perjuangan ini diambil alih oleh orang lain,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya turut mempersoalkan sama ada kenyataan kontroversi yang dikeluarkan beberapa pimpinan Dap itu sengaja dibuat bagi melihat dan mengukur reaksi Bumiputera atau menguji tahap kesabaran golongan itu.
“Lebih ramai pemimpin UMNO bersuara tentang satu-satu perkara yang membabitkan empat tonggak dalam Perlembagaan adalah lebih baik tetapi pada masa sama kita kena memahami apa yang berlaku.
“Malah Presiden UMNO, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Ketua Pemuda serta pemimpin-pemimpin UMNO pun telah bersuara dalam kes Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming yang melibatkan tonggak perlembagaan.
“Sebagai contoh sekiranya ada pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sudah pasti akan mengguriskan orang Melayu. Yang menang hanya satu kaum iaitu masyarakat Cina iaitu dari jawatan Datuk Bandar sampai ke Ahli Majlis Perbandaran. Itu adalah isu perkauman, jangan kita tidak faham dengan isu sebegini,” tegasnya lagi.
Terdahulu Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi mengucapkan terima kasih kepada Nga Kor Ming kerana menghormati pendirian UMNO kerana tidak mahu memanjangkan cadangan untuk menjadikan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Isu tersebut boleh mencetuskan polemik dan perlu perbincangan secara tertutup di kalangan anggota kabinet dan Sekretariat Kerajaan Perpaduan dapat diadakan terlebih dahulu. – UMNO Online