Realisasi Hasrat Malaysia Madani Bina Generasi Ulul Albab… KKDW Peruntuk RM37 Juta, Sasar 100,000 Huffaz Cilik

KUALA LUMPUR, 16 Feb – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan RM37 juta untuk merealisasikan hasrat Malaysia Madani bagi membina generasi ulul albab.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penekanan terhadap ilmu pengetahuan menjadi satu faktor penting untuk mencorak masa depan masyarakat Islam di Malaysia.

“Sedikit perkongsian hari ini. Konsep Malaysia Madani yang digagaskan oleh Perdana Menteri menjadi panduan dan ikhtiar untuk kerajaan mewujudkan satu bentuk masyarakat yang maju serta bertamadun berteraskan ilmu pengetahuan.

“Penekanan terhadap ilmu pengetahuan inilah yang menjadi satu faktor penting mencorak masa hadapan dengan segala potensi yang ada demi mengemudi masyarakat Islam di Malaysia agar berlandaskan nilai-nilai Islam, adil dan inklusif dalam meraikan kepelbagaian.

“Dalam konteks ini, membina generasi ulul albab menjadi salah satu tumpuan utama saya agar terhasilnya generasi yang mempunyai asas-asas (fundamental) Islam yang kukuh, memiliki nilai moraliti tinggi serta mampu memberikan sumbangan signifikan terhadap pembangunan negara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, ulul albab membawa maksud golongan mempunyai pengertian akal yang jernih dari sebarang kecelaruan.

“Di dalam mendefinisikan istilah ‘ulul albab’ secara harfiahnya, ‘ulul’ bermaksud mempunyai atau yang memiliki manakala ‘albab’ membawa pengertian akal yang jernih dari sebarang kecelaruan. Secara istilahnya merujuk kepada golongan yang memiliki pemikiran yang jernih dan sentiasa mengambil iktibar (pengajaran) atau peringatan.

“Perkataan “Ulul Albab” dirakamkan sebanyak 16 kali di dalam Al-Quran. Di dalam Surah Ali Imran (Ayat 190) Allah SWT berfirman:
‎إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِأُولِي الْأَلْبَابِ
‘Sebenarnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan perbezaan malam dan siang, terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal’.

“Daripada ayat ini jelas golongan ‘ulul albab’ ini adalah mereka yang memahami hikmah di sebalik setiap kejadian dan penciptaan serta mempunyai kebijaksanaan mengambil pengajaran tentang agama dan kehidupan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar manifestasi kerajaan membina generasi ulul albab ini dapat melahirkan insan yang mampu membawa perubahan positif dalam kehidupan masyarakat.

“Tugas dan tanggungjawab kerajaan Madani adalah untuk membentuk kejernihan akal pemikiran generasi baharu dengan ketinggian ilmu pengetahuan. Paling utama ianya mestilah dipandu berteraskan wahyu (Al-Quran). Ini mampu terhasil melalui penyediaan pendidikan, pembinaan nilai dan lingkungan sosial yang memperkasakan perkembangan spiritual, intelektual serta moral.

“Bagi merealisasikan hasrat ini, di bawah KKDW kerajaan telah memperuntukkan RM 17 juta untuk program TVET Tahfiz dan RM 20 juta kepada program Pra Tahfiz KEMAS yang mensasarkan 100,000 huffaz cilik menjelang 2026.

“Ini merupakan manifestasi komitmen kerajaan membina generasi Ulul Albab yang diharapkan dapat melahirkan generasi akan datang yang bertanggungjawab, berakhlak mulia dan mampu membawa perubahan positif dalam kehidupan masyarakat di Malaysia. Semoga Allah SWT mempermudahkan usaha dan aspirasi membina generasi Ulul Albab ini,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.