Terima Kasih Nga Kor Ming Kerana Hormati Pendirian UMNO – Dr Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR, 14 Feb – Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengucapkan terima kasih Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming kerana menghormati pendirian UMNO.
Begitu juga katanya atas pendirian Ahli Parlimen Teluk Intan itu yang tidak mahu memanjangkan cadangan untuk menjadikan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
“Banyak keutamaan lain yang perlu Kerajaan Perpaduan tumpukan ketika ini terutamanya dalam isu menangani kos sara hidup rakyat yang kian meningkat di samping meningkatkan kualiti kesejahteraan hidup rakyat dalam segenap aspek.
“UMNO bersedia bersama dan bekerjasama rapat dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi membantu agenda Kementerian di bawah YB Nga Kor Ming terutamanya yang melibatkan isu kemiskinan bandar, kesempurnaan kemudahan dan infrastruktur rakyat di kawasan perumahan, isu perumahan mampu milik generasi muda dan pelbagai isu lain yang menyentuh kualiti hidup rakyat di kawasan bandar khususnya,” katanya dalam satu perkongsian di laman Facebook.
Tambah Dr Asyraf, isu-isu yang disebutkannya itu melangkaui soal kaum dan memerlukan pendekatan bersifat keterangkuman dengan kerjasama semua pihak bagi memastikan semuanya dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Diharapkan apa juga isu yang boleh mencetuskan polemik dapat dielakkan dan perbincangan secara tertutup di kalangan anggota kabinet dan Sekretariat Kerajaan Perpaduan dapat diadakan terlebih dahulu pada masa akan datang,” ujar Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan itu lagi. – UMNO ONLINE